Halaman

06 March 2014

Aku Janji BN Terengganu Bina 10,000 Lagi Rumah Mula Dilaksana

Oleh FAUZI MOHD

Aku Janji Barisan Nasional (BN) Terengganu pada Pilihan Raya Umum 13 untuk membina 10,000 lagi unit rumah sepanjang tempoh lima tahun telah mula dilaksanakan tahun ini.

 Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said berkata, setakat ini Kerajaan Negeri telah meluluskan pembinaan sebanyak 500 unit rumah mampu milik di Seri Bandi, Kemaman dan 300 lagi di Pengkalan Nyireh, Besut. 

“Jumlahnya sebanyak 800 unit untuk permulaan awal tahun ini. Surat kelulusan kepada pihak kontraktor telah dikeluarkan untuk dilaksanakan mengikut jadual yang telah kita persetujui,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Surat Tawaran Rumah Pangsa Mampu Milik (RPMM) Taman Batin Perdana di Seberang Takir, Kuala Terengganu pagi tadi.

 Hadir sama, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, YB. Zubir Embong; Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Dato’ Ahmad Razif Abdul Rahman dan Pengurus Besar PMINT, Dato’ Osman Muda.

Tambah Ahmad, aku janji itu dibuat berdasarkan kemampuan Kerajaan Terengganu untuk menunaikan janji membina 10,000 unit rumah untuk rakyat dalam tempoh lima tahun pada 2008 hingga 2013.

"Sepanjang tempoh itu, sebanyak 9,078 unit telah dibina dan sebahagian dari jumlah itu masih dalam peringkat pembinaan melibatkan 29 projek di seluruh negeri.

"Bagi mencukupkan jumlah 10,000 unit, 1,883 unit rumah dalam peringkat perlaksanaan membabitkan pembinaan rumah mampu milik di Banggol Tuan Muda sebanyak 314 unit, RPMM Pulau Redang sebanyak 160 unit, RPMM Ladang Tok Pelam berjumlah 407 unit dan Perumahan Rakyat Padang Hiliran sebanyak 1,002 unit," katanya.

 Pada majlis itu, sebanyak 92 keluarga menerima surat tawaran pertama rumah berkenaan yang disampaikan oleh Ahmad.

RPMM Taman Perdana Batin yang mula dibina pada Oktober 2009 di tanah milik kerajaan berkeluasan 17 hektar merangkumi 722 unit rumah terdiri daripada 19 blok 4 tingkat dengan menelan belanja RM101.8 juta.