Halaman

11 February 2014

Utamakan kebersihan premis makanan-YB Pehimi

Oleh: Noraini Jusoh

Pemilik premis makanan di Terengganu terutamanya restoran dan kedai makan disaran mengutamakan aspek kebersihan untuk menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, YB Haji Muhammad Pehimi Yusof berkata, makanan yang disediakan pengusaha makanan bukan sahaja perlu lazat dan murah tetapi juga tidak menjejaskan kesihatan pelanggan.

“Sempena Tahun Melawat Malaysia 2014 khususnya, saya mengharapkan pengusaha makanan agar mengutamakan kebersihan makanan di premis-premis perniagaan mereka supaya lebih ramai pelancong datang ke Terengganu,” ujarnya.



Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Program Bicara Bersama Media anjuran Unit Komunikasi Negeri Terengganu di Hotel Permai, Kuala Terengganu, hari ini.

Menurut YB Pehimi, pemantauan telah dibuat secara berterusan oleh Pejabat Kesihatan Negeri Terengganu melalui pejabat kesihatan daerah bagi memastikan premis perniagaan mematuhi setiap arahan yang telah ditetapkan.

“Pemantauan yang dilakukan tidak hanya fokus di lokasi tertentu tetapi melibatkan semua lokasi kecuali ada kes-kes yang memerlukan untuk diberi perhatian khusus,” ujarnya.

Katanya, usaha untuk memastikan pengusaha permis makanan mengutamakan kebersihan turut dilaksanakan oleh kerajaan dengan kerjasama hospital dan majlis perbandaran.

 “Kita memberi kerjasama dalam membantu pihak berkenaan mengkategorikan restoran ataupun kedai-kedai makan yang mana pengiktirafannya dikeluarkan oleh jabatan kesihatan,” katanya.