Halaman

06 February 2014

Terengganu sasar rampas juara Sukma

Oleh: Aida Abd Rahman

Terengganu nekad memburu kembali gelaran juara keseluruhan Sukan Malaysia (Sukma) daripada Selangor pada temasya edisi ke-17 di Perlis, mulai 24 Mei hingga 4 Jun ini.

Sehubungan itu,  kerajaan negeri komited dalam melahirkan atlet muda berpotensi termasuk menghantar mereka mengikuti siri latihan di luar negara.

Pengerusi Jawatankuasa Belia & Sukan dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Rozi Mamat berkata antara skuad yang menjalani latihan intensif di luar negara termasuk pemain sepak takraw yang kini  mengikuti latihan di Thailand dan pesilat di Batam, Indonesia.

"Mereka sedang menjalani latihan di beberapa negara sebagai persediaan bagi menghadapi Sukma tidak lama lagi kerana sasaran kita mahu kekal juara," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan geran tahunan dan tajaan pakaian sukan Projek Akademi Sepak Takraw Terengganu (Pasta) di Sekolah Menengah Kebangsaan padang Midin, Kuala Terengganu, kelmarin.

Di majlis itu, Pasta turut menerima gerakan tahunan kerajaan negeri berjumlah RM30,000 selain tajaan pakaian daripada penaja.

 Pasta, yang ditubuhkan pada Mei 1999, menjadikan Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Midin di sini sebagai pusat latihan. Pusat itu kini mempunyai 34 pelatih iaitu pelajar daripada tingkatan satu hingga tingkatan lima.

Sementara itu,  Terengganu menjuarai temasya Sukma sebanyak empat kali iaitu pada 2008, 2010, 2011 dan 2012.

Manakala pada edisi ke-16 di Kuala Lumpur, tahun lepas, Terengganu menjadi naib juara selepas dipintas  Selangor yang muncul juara keseluruhan dengan pungutan 23 pingat emas, 17 perak dan 30 gangsa.