Halaman

06 February 2014

‘MyBrain15’ bantu siswazah sambung pengajian

Oleh: Noraini Jusoh

Kementerian Pendidikan Malaysia menawarkan program biasiswa pengajian lepasan ijazah 'MyBrain15' kepada siswazah yang ingin melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi dan Inovasi; Tenaga, Terknologi Hijau dan Air negeri, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman berkata, program yang ditawarkan dalam MyBrain15 ialah MyMaster, MyPhD dan MyPhD Industri.

Katanya, program MyBrain15 bertujuan melahirkan golongan intelektual berpengetahuan tinggi untuk memacu pertumbuhan penyelidikan dan inovasi, sekali gus dapat memberi sumbangan kepada negara dalam menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi kelak.

 “Program MyMaster dan MyPhD terbuka kepada warganegara Malaysia yang tidak bekerja dan tidak memperoleh pendapatan tetap, bukan penjawat awam atau kakitangan badan berkanun, kakitangan di institusi pengajian tinggi awam, pekerja di sektor swasta dan pensyarah di institusi pengajian tinggi swasta.

 “Manakala program MyPhD Industri pula, terbuka kepada kakitangan daripada sektor swasta yang bekerja di industri dan badan berkanun yang berhasrat untuk melanjutkan pengajian di peringkat PhD,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Perpustakaan Desa Kampung Kesom, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Turut hadir, Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu, Dato’ Hajah Nor Akmal Abdul Fatah serta Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kesom, Tuan Haji Mohd Jik Abdul Rahman.

Menurut Dato’ Ahmad Razif, orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai program itu dengan menghubungi Unit MyBrain15, Bahagian Biasiswa, Kementerian Pendidikan di talian Hotline 03-88881616 atau melayari laman web di www.moe.gov.my.