Halaman

03 February 2014

MKN peruntukan RM9.602 juta untuk mangsa banjir di Terengganu

Oleh; Esah Abdullah 

Seramai 19, 205 mangsa banjir yang layak di negeri ini akan menerima wang ehsan sumbangan kerajaan Persekutuan selewat-lewatnya Mac depan.

Setiausaha Keselamatan Negeri, Encik Mohd Sarif Hassan berkata, RM9.602 juta diperuntukan untuk pemberian wang ehsan sebanyak RM500 bagi setiap ketua keluarga yang terlibat dengan banjir baru-baru ini.

Katanya, semua mangsa banjir diberi jaminan akan menerima bantuan itu dan proses pembayaran tersebut telah dimulakan sejak Januari lalu dan ianya dilaksanakan secara berperingkat-peringkat dan dijangka selesai Mac depan.

 ``Sehingga kini seramai 797 orang telah mendapat bantuan tersebut yang melibatkan daerah Setiu, Besut, Marang serta Kemaman yang melibatkan 607 orang di Kampung Pengkalan Pandan sempena lawatan Perdana Menteri di Kemaman baru-baru ini,’’ katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis penyampaian wang ehsan mangsa banjir bagi daerah Marang yang disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Transformasi Kerajaan, Komunikasi dan Multimedia yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Berangan, di Pejabat Daerah Marang hari ini.

Menurutnya, daerah Kemaman mencatatkan bilangan paling ramai layak menerima bantuan itu seramai 15,197 orang, Dungun (2,787 orang), Hulu Terengganu (1,031 orang), Setiu (101 orang), Besut (46 orang ) dan Marang (43 orang).

 Dalam pada itu, bagi daerah Hulu Terengganu, majlis penyampaian tersebut akan diadakan pada 6 Februari bagi kawasan Telemong, Ajil (16 Februari) dan Kuala Berang (18 Februari).

 Manakala daerah Dungun dan Kemaman kini dalam proses semakan terakhir dan penentuan tarikh yang sesuai untuk diberikan kepada layak tidak lama lagi.

Beliau juga memaklumkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) hanya menguruskan pemberian wang ehsan yang diluluskan oleh kerajaan Pusat sahaja dan tidak melibatkan bantuan kerajaan negeri dan bantuan peralatan rumah.

Di majlis itu seramai 43 ketua keluarga di daerah Marang menerima wang ehsan sebanyak RM500 seorang.