Halaman

18 February 2014

KK1M di Setiu April ini.

Dr.Akramuddin...dapatkan pemeriksaan mata.
Oleh: Aminudin Ismail.

ORANG RAMAI di daerah Setiu yang mempunyai masalah penglihatan berpeluang bertemu pakar mata bagi membuat pemeriksaan di empat kawasan di daerah itu, tidak lama lagi.

Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Sri Langkap, Dr. Akramuddin Mohd Razi berkata, Program Bas Bergerak Klinik Katarak 1 Malaysia (KK1M) kini berada di Negeri Terengganu.

“Katarak ialah selaput mata, orang yang semakin berumur akan tumbuh selaput mata terutamanya mereka yang menghidap kencing manis.

“Situasi sekarang ini, Kementerian Kesihatan Malaysia mengesan kira-kira 300 ribu penduduk di negara ini mengalami selaput mata dan hanya 28 ribu sahaja yang mendaftar untuk mendapat rawatan,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, KK1M itu kini berada di seluruh daerah di negara ini untuk memberi rawatan termasuklah daerah Setiu.

“Klinik bergerak ini mempunyai peralatan yang cukup untuk membuat pemeriksaan mata dan kini berada di daerah Kemaman, Insya Allah klinik bergerak itu akan sampai di setiu April ini,” katanya.

“KK1M ini akan berada 11 hari di Setiu iaitu tiga hari di Kawasan Sungai Tong, Langkap dan empat hari di Kawasan Kampung Rahmat dan empat hari lagi di Permaisuri,” katanya ketika berucap di Program Gempur Aedes di Kampung Seri Kenangan, Pelong, dua hari lalu.

Dr. Akramuddin mahu semua penduduk di daerah Setiu mengunakan peluang yang ada dengan hadir beramai-ramai membuat pemeriksaan mata di kawasan terbabit.

“Kos membuat pemeriksaan mata ini sekitar RM3,000 jika dibuat di hospital dan klinik swasta tetapi melalui KK1M ini kosnya sekitar ratusan ringgit sahaja malah ada yang akan mendapat rawatan percuma mengikut kelayakan,” katanya.