Halaman

19 February 2014

Kerajaan negeri peruntuk RM77 juta untuk Tabung Dana Khas perubatan

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri memperuntukkan hampir RM77 juta untuk Tabung Dana Khas bagi pembangunan kesihatan rakyat seluruh Terengganu bermula 2007 sehingga tahun lalu.



Bagi tahun ini, sebanyak RM2.5 juta peruntukan tambahan lagi disediakan bagi membantu meningkatkan taraf kesihatan rakyat Terengganu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata peruntukan itu meningkat sebanyak RM500,000 setahun kepada RM2.5 juta sejak tahun lalu, berbanding RM2 juta setahun sejak 2007.

“Ini merupakan program tahunan kita kepada jabatan kesihatan negeri bagi menyerahkan dana perubatan untuk disediakan kepada pesakit yang menghadapi masalah, kurang berkemampuan, menyediakan peralatan.

“Sebelum ini, sejak 2007 kita sediakan RM2 juta setahun. Bagaimanapun, sejak tahun lalu peruntukan ini bertambah kepada RM2.5 juta setahun,”katanya kepada pemberita selepas menyerahkan Dana Perubatan Kepada Jabatan Kesihatan Negeri, di Auditorium Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Haji Mohd Zubir Embong; Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, YB Haji Muhammad Pehimi Yusuf dan Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dato’ Dr Anwa Sulaiman.

Menteri Besar berkata, kerajaan negeri bersedia menambah peruntukan itu pada bila-bila masa sahaja berdasarkan keperluan perubatan pesakit di negeri ini.

“Kerajaan negeri memandang serius dan komited untuk membantu meringankan bebanan rakyat negeri ini, kerana itu kita bersedia menambah jumlah sedia ada itu bergantung kepada keperluan dari semasa ke semasa.

“Apatah lagi memikirkan bagaimana mereka mampu menyediakan perbelanjaan yang begitu besar sehingga ada yang memerlukan perbelanjaan sehingga RM22,000 seorang. Bagaimana mereka mahu mencari duit jika kerajaan tidak membantu,” katanya.

Daripada RM77 juta peruntukan kepada Tabung Dana Khas (2007-2013) berkenaan, sebanyak RM62 juta dana khas bertujuan untuk menaiktaraf perkhidmatan perubatan, manakala RM15 juta untuk kebajikan sosial perubatan.