Halaman

09 January 2014

UMT komited laksana penyelidikan berimpak

Oleh: Suriati Ali

 Universiti Malaysia Terengganu (UMT) terus komited dalam menjalankan penyelidikan berimpak, selain menambah nilai ilmu serta menawarkan khidmat akademik kepada masyarakat dan pemegangtara di Tanah Bencah Setiu.

 Naib Canselornya, Prof Emeritus Dato’ Dr. Ibrahim Komo berkata, komitmen universiti itu diperkukuhkan lagi dalam usaha memperkasakan penyelidik melalui pengukuhan sistem sokongan penyelidikan yang telah bermula awal tahun lepas.

 “UMT telah menjalankan penyelidikan di Tanah Bencah Setiu seawal penubuhan universiti berkenaan pada tahun 1979 sebagai Pusat Perikanan dan Sains Samudera.

 “Pihak kami mahu terus berkembang selaras dengan proses pembangunan di Tanah Bencah Setiu dari satu daerah yang agak kurang dikenali sehingga menjadi 'hab' kepada industri perikanan, akuakultur, pertanian, selain sebagai pusat tarikan baru dalam sektor eko-pelancongan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Malam Apresiasi Media 2014, di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, malam tadi.

Menurutnya, UMT akan melakukan penstrukturan semula dalam bidang akademik dengan memperkenalkan lapan pusat pengajian baru menggantikan sistem fakulti untuk memperkasa lagi pusat pengajian tinggi itu.

 “Transformasi berkenaan membolehkan program-program pengajian diberi lebih tumpuan yang khusus mengikut bidang-bidang tertentu.

“Kita melihat bahawa ada keperluan untuk bergerak kearah memperkasa pusat pengajian ini bagi mempertingkatkan sistem pengajaran dan pembelajaran di UMT.

 “Melalui trasformasi ini, ia melibatkan pengukuhan program sedia ada disamping memperkenalkan program-program baru, termasuk program pengajian di peringkat antarabangsa dan juga program pengajian kontinuum (program pantas Diploma-Sarjana Muda-Sarjana Kerja Kursus),” ujarnya .