Halaman

09 January 2014

UMT garis lima komponen, nilai dalam Pelan Strategik lima tahun

Oleh: Aida Abd Rahman

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menggariskan lima teras dan lima komponen dalam Pelan Strategik 2013 hingga 2017 bagi memastikan bergerak maju ke hadapan serta muncul sebagai universiti berfokus marin terunggul serta disegani bukan hanya di peringkat kebangsaan, serantau dan juga global.

Naib Canselornya, Prof Emeritus Dato’ Dr Ibrahim Kamoo, berkata untuk memperkukuhkan semangat `nilai bersama’ UMT menetapkan Nilai Teras Universiti yang perlu dihayati dan menjadi pegangan semua warga pusat pengajian itu.

“Lima nilai teras itu adalah pertama, ghairah kepada kebenaran; yang kedua, mengejar kecemerlangan; yang ketiga, integriti akademik; yang keempat, keserakanan dan menghormati kepelbagaian dan terakhir serta kelima, menyemai kecintaan alam.

“Pelan Strategik UMT digariskan berdasarkan lima komponen teras yang utama iaitu Teras Bakat Akademik, Teras Pengajaran dan Pembelajaran, Teras penyelidikan dan Inovasi, Teras Pemindahan Ilmu dan Teras Pemantapan Citra,” katanya dalam kenyataan media sempena Majlis Apresiasi Media 2014, di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, malam tadi.

Prof Emeritus Dato’ Dr Ibrahim berkata, teras berkenaan dibentuk berdasarkan bidang tujahan UMT iaitu kelautan dan sumber akuatik selaras menjadi tunggak berpaksikan Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara.

Katanya, dalam Pelan Strategik UMT sebanyak 43 program dengan 115 projek akan dilaksanakan sehingga 2017 yang terbahagi kepada tiga, iaitu pelan jangka pendek untuk tempoh masa setahun, pelan jangka sederhana untuk tempoh masa tiga tahun dan pelan jangka panjang untuk tempoh lima tahun.

 “Antara projek yang julung-julung kali diadakan nanti, dengan kerjasama Direktorat Oseonografi Kebangsaan (NOD) dan kerajaan negeri adalah Projek World Ocean Week UMT.

“Projek yang berkesinambungan daripada World Ocean Day yang disambut seluruh dunia ini akan menyaksikan UMT memberikan kesedaran mengenai kepentingan memelihara dan memulihara lautan dan ekosistemnya demi mengekalkan kemapanan untuk generasi akan datang,” katanya.