Halaman

30 January 2014

Umno Kuala Terengganu perkenal Biro Khas Aduan Awam, kaedah terbaik bantu rakyat

Oleh: Aida Abd Rahman

Umno Bahagian Kuala Terengganu memperkenalkan kaedah terbaharu memudahkan bantuan disalurkan kepada rakyat apabila melancarkan Biro Khas Aduan Awam,  di Pejabat Umno Bahagian Kuala Terengganu, kelmarin.

Ketuanya, Datuk Mohd Sabri Alwi, berkata penubuhan biro itu adalah antara inisiatif bagi memberi perkhidmatan secara lebih berkesan kepada rakyat tanpa mengira fahaman politik.

Beliau berkata, biro yang sudahpun memulakan operasi itu membolehkan rakyat mengemukakan sebarang masalah termasuk isu persekolahan anak-anak, perumahan, perbandaran atau mendapatkan bantuan kebajikan disebabkan kos sara hidup yang semakin meningkat.

"Walaupun Parlimen ini dikuasai parti pembangkang, ramai rakyat datang jumpa saya mengadu wakil rakyat mereka gagal melaksanakan tugas menyebabkan kita terpaksa mengambil alih tanggungjawab membela kebajikan rakyat.

"Justeru, kita putuskan untuk tubuhkan biro khas ini bagi memberi tumpuan penuh sekaligus membolehkan aduan atau masalah rakyat diselesaikan dengan cepat tanpa melalui banyak karenah birokrasi.

"Selain itu, rakyat juga boleh membuat aduan terhadap masalah yang melangkaui isu setempat dan jika tidak mampu menanganinya kita akan salurkan masalah itu kepada pimpinan lebih tinggi," katanya selepas pelancaran Biro Khas Aduan Awam, di Pejabat Umno Bahagian Kuala Terengganu. Kelmarin.

Turut hadir, Ketua Wanita dan Pemuda Umno Bahagian Kuala Terengganu, Rozalina Mokhtar dan Dr Najmil Faiz Mohamad Aris.



Mohd Sabri berkata, biro itu akan berperanan sebagai alternatif bagi suara rakyat berikutan kerajaan negeri belum memutuskan untuk meneruskan kewujudan pusat pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen.

Katanya, Umno Kuala Terengganu adalah satu-satunya kepemimpinan peringkat bahagian yang mengambil pendekatan seumpama itu sekaligus membuktikan bahawa UMNO benar-benar mahu berkhidmat kepada rakyat.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan semua ketua cawangan Umno serta ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di parlimen ini supaya lebih bertanggungjawab serta mengurarangkan karenah birokrasi ketika berurusan dengan rakyat.

"Jika kita mahu rakyat berubah menyokong Umno, kita perlu berubah terlebih dulu. Berilah perkhidmatan kepada rakyat tanpa mengira fahaman politik," katanya.