Halaman

09 January 2014

Terengganu naib juara GP Indonesia


Terengganu muncul naib juara Kejohanan Lumba Basikal Grand Prix (GP) Indonesia pusingan akhir di Temenggong, Jawa Tengah, Ahad lepas.

Ketua jurulatih Terengganu, Syed Mohd Hussaini Syed Mazlan berkata pasukan negeri itu ketinggalan lapan mata apabila kalah kepada pasukan kelab dari Jakarta, Antangin, dalam saingan tersebut.

Beliau berkata daripada 44 pasukan bertanding, skuad Terengganu mengumpul 80 mata secara keseluruhan untuk menduduki tangga kedua di belakang Antangin.

Seramai enam pelumba - Mohd Azri Ahmad, Cheku Mohd Shamir Cheku Ramli, Mohd Badrul Hakimi Hamid, Mohd Sharul Affan Rosli, Mohd Zulfakri Hamdan dan Mohd Nor Aiman Mohd Zarif - menggalas cabaran negeri pada kejohanan tersebut.

Syed Mohd Hussaini berkata Terengganu menguasai acara 90km Lebuh Raya Junior apabila Mohd Azri dan Cheku Mohd Shamir masing-masing meraih tempat pertama dan kedua.

Katanya Mohd Nor Aiman pula muncul juara bagi acara 50km Lebuh Raya bawah 16 tahun dan beliau juga muncul naib juara bagi kategori individu 7km Mendaki Bukit serta menduduki tempat keempat dalam acara kriterium.

Belau berkata kesemua pelumba itu akan mewakili skuad negeri pada temasya Sukan Malaysia 2014 (SUKMA) di Perlis, Jun ini.