Halaman

15 January 2014

Tekankan pendidikan al-Quran

Oleh: Noraini Jusoh

“Rakyat negeri ini terutama ibu bapa perlu menekankan pendidikan al-Quran kepada anak-anak sejak dari awal usia mereka,” titah Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin ketika berkenan merasmikan sambutan Maulidul Rasul peringkat negeri di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, semalam.

Menurut baginda, Rasulullah s.a.w. telah meninggalkan kepada umatnya kitab suci al-Quran bukan sahaja untuk dibaca, dipelajari, dikaji dan difahami maksud pengajarannya, bahkan untuk diamal bagi membolehkan masyarakat Islam membina empayar kekuatan sendiri dan membentuk jati diri muslim sejati.

“Beta mengucapkan syabas kepada kerajaan beta dibawah pimpinan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, kerana telah memberi kecaknaan dan fokus dalam pendidikan al-Quran sejak alam tadika lagi, sebagaimana yang telah dilakukan oleh beberapa agensi kerajaan di negeri ini terutamanya oleh Yayasan Islam Terengganu.

“Beta juga difahamkan bahawa program menghafaz al-Quran di kalangan pelajar sekolah rendah, menengah, dan juga di kalangan orang dewasa turut dilaksanakan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) yang mana peruntukan kewangan dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan negeri,” titah baginda.

Titah baginda, kewujudan ‘Kelas Tamayyuz’ di beberapa buah sekolah menengah agama negeri Terengganu yang bermula dari tingkatan satu sejak beberapa tahun yang lepas diharap diterus dan diperkasakan lagi.

“Beta percaya kelas Tamayyuz ini sangat penting dalam usaha untuk melahirkan pelajar yang kental dan berjiwa al-Quran,” titah baginda.

Malah baginda berharap, program menghafaz al-Quran hendaklah dijadikan sebahagian daripada Dasar Pendidikan Agama Negeri Terengganu.