Halaman

14 January 2014

Sultan Mizan titah amal wasatiyyah Rasulullah s.a.w dalam kehidupan

Oleh: Noraini Jusoh

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah, dalam konteks negara ini yang bercirikan masyarakat majmuk, perlaksanaan sesuatu perkara yang berasaskan pendekatan ‘wasatiyyah’ Rasulullah s.a.w, mampu menjadikan rakyat khususnya masyarakat Islam hidup aman dan bahagia, bersatu padu dan saling sayang menyayangi antara satu sama lain.

"Sempena sambutan Maulidul Rasul yang menekankan kepada tema ‘Wasatiyyah tonggak kesatuan ummah, beta menyeru kepada sekalian rakyat khususnya umat Islam di Terengganu menjadikan tema ini sebagai penggerak ke arah mencapai kesatuan ummah,” titah baginda di majlis perasmian sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, hari ini.



Turut hadir, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Haji Mazlan Ngah serta Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Haji Mohd Zuber Embong.

Baginda turut mengingatkan umat Islam agar tidak membiarkan perpecahan terus berlaku tetapi haruslah saling bersatu.

“Beta berharap, barisan pemimpin dan para ulama’ bergading bahu berusaha bersama membawa masyarakat Islam ke arah jalan yang diredhai Allah s.w.t. Jadikanlah kepentingan dan maslahah ummah sebagai matlamat perjuangan tanpa menggadai maruah dan agama Islam.

Janganlah rakyat menjadi taruhan dan dikorbankan. Beta yakin, perpaduan ummah dapat dicapai sekiranya semua pihak dapat menghayati kehendak tema ‘Wasatiyyah tonggak kesatuan ummah’ dan mencontohi Rasulullah s.a.w dengan melaksanakan pendekatan tersebut,” titah baginda.

Sultan Mizan bertitah, perhimpunan umat Islam seluruh dunia pada setiap 12 Rabiul Awal setiap tahun bertujuan mengingati kembali kelahiran Nabi Muhammad s.a.w yang banyak berkorban demi keselamatan dan kesejahteraan hidup umatnya di dunia dan akhirat.

Menurut baginda, Nabi Muhammad s.a.w adalah manusia pilihan dan paling mulia di sisi Allah s.w.t dan baginda diutuskan bagi membawa rahmat Allah s.w.t berpaksikan ajaran agama Islam kepada manusia sejagat. Kemuliaan Rasulullah s.a.w terletak pada perilaku dan budi pekerti yang luhur.