Halaman

15 January 2014

Penjawat awam perlu berazam tingkat prestasi

Dato' Haji Mazlan Ngah bersama penerima Anugerah Pekerja Cemerlang Bulanan.
Oleh: Suriati Ali
Gambar oleh Zulkipli Putra

 Penjawat awam di negeri ini diminta berazam dan beriltizam untuk meningkatkan prestasi kerja bagi memenuhi aspirasi dan hasrat negeri melahirkan modal insan yang seimbang tercapai.

Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Dato’ Haji Mazlan Ngah berkata, kualiti kerja merupakan nilai yang sentiasa berubah mengikut arus pergerakan masa. "Usaha kita untuk meningkatkan kualiti dan kecemerlangan perkhidmatan sebagai penjawat awam hendaklah secara berterusan dan tidak terhenti selagi hasrt kerajaan tidak tercapai.


"Selain memberi perkhidmatan yang berkualiti kita juga haruslah mempunyai kewibawaan dan nilai integriti yang tinggi dalam setiap urusan atau tugasan yang diamanahkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Pekerja Cemerlang Bulanan Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

 Hadir sama, Penasihat Undang-undang Negeri, YB Dato’ Azhar Abdul Hamid; Pegawai Kewangan Negeri, Dato Razali Kassim; Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan)/ Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri, Dato, Haji Zulkifli Mohamad dan Timbalan Setiusaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Yasim Awang.

Seramai 15 penjawat awam bagi tempoh Oktober hingga Disember dianugerahkan Pekerja Cemerlang Bulanan. Mereka termasuk Puan Noriyah Muda dari Pejabat Setiausaha Kerajaan Khidmat Pengurusan; Puan Rohaya Mohamad (Pejabat Perbendaharaan Negeri); Enck Ali Abdullah (Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Terengganu) dan Encik Mohamad Salleh Omar (Pejabat Perbendaharaan Negeri).

Penjawat awam lain, Haji Yahaya Wan Zaina (Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Terengganu) dan Encik Razlan Mamat dari Unit Komunikasi Negeri.

Dato’ Haji Mazlan turut memberitahu budaya kerja kelas pertama perlu dilaksanakan oleh semua penjawat awam dan seharusnya tidak ada kompromi dalam soal integriti kerana perkara ini amat penting untuk dititikberatkan pada setiap peringkat dalam perkhidmatan kerajaan.


Katanya, penjawat awam perlu mengamalkan tonggak 12 yang menggariskan 12 nilai murni yang sememangnya dapat mengekang daripada melakukan sebarang penyelewengan dan perlanggaran peraturan seperti penyalahgunaan kuasa, ketidakcekapan, pembaziran dan amalan negatif lain yang boleh melemahkan dan memberikan imej negatif kepada perkhidmatan awam.

 "Sebagai penjawat awam, marilah bersama-sama kita membentuk Perkhidmatan Awam Negeri yang cemerlang demi kesejahteraan rakyat dan pembangunan negeri yang kita cintai,” katanya.