Halaman

30 January 2014

Ops Selamat: Tumpu tiga lokasi kerap kemalangan

Oleh: Noraini Jusoh

Polis Terengganu menumpukan perhatian di tiga lokasi yang dikenal pasti kerap berlaku kemalangan di negeri ini dalam Ops Selamat 4 sempena perayaan Tahun Baru Cina.
Timbalan Ketua Polis Terengganu, Datuk Hamzah Mohd Jamil berkata, tiga kawasan berbahaya berkenaan adalah di kilometer (km) 20 hingga km 26 bagi daerah Marang.

Hulu Terengganu di km 40 Jalan Kuala Terengganu – Kuala Berang dan km 98 Jalan Kuala Terengganu – Kuantan iaitu Kampung Nyior dan Kampung Tebing Tembah bagi daerah Dungun.

“Pemandu dinasihati supaya lebih berhati-hati di kawasan berkenaan terutama di selekoh,” ujarnya.

 Beliau berkata demikian pada sidang media di Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Sambutan Tahun Baru Cina (Ops Selamat 4) Peringkat Negeri Terengganu, di Jambatan Sultan Mahmud (Bekas Rumah Tol), semalam.

Majlis perasmian kempen berkenaan telah disempurnakan oleh Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri YB Haji Zubir Embong.

 Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita,Keluarga dan Masyarakat Negeri, YB Muhamad Pehimi Yusof.

Menurut Datuk Hamzah, pihaknya kesal kerana masih ramai pengguna jalan raya yang kurang peka terhadap undang-undang jalan raya dan tidak mengamalkan pemanduan secara berhemah sehingga menyebabkan berlakunya kemalangan.

Malah, lebih ketara lagi melibat golongan belia yang berumur antara 16 hingga 25 tahun di mana sebanyak 125 kes telah direkodkan sepanjang kempen berkenaan tahun lalu.

“Ia melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal yang menyebabkan enam kematian,” ujarnya.

Katanya, seramai 210 anggota polis negeri ini terlibat dalam Ops Selamat 4 yang bermula 24 Januari dan berakhir 7 Februari depan.