Halaman

26 January 2014

DUN Batu Rakit perkemas jentera SRS

Oleh: Suriati Ali

Jentera Skim Rondaan Sukarela (SRS) Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit diperkemas bagi mengekang jenayah sekali gus mampu membentuk penyatuan lebih kukuh antara penduduk setempat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Rakit, Bazlan Abd Rahman, berkata dia berpuas hati dengan kesungguhan yang ditunjukkan ahli SRS bagi memastikan kampung masing-masing berada dalam keadaan selamat biarpun kerja yang dilakukan itu tidak bergaji..

“Usaha itu secara tidak langsung membentuk hubungan yang lebih kukuh antara masyarakat setempat, “ katanya.

Katanya, buat permulaan, hanya sepuluh kampung atau sepuluh penubuhan SRS diwujudkan di DUN Batu Rakit.

“Melihat komitmen daripada ahli yang ada itu, saya percaya pada masa akan datang dapat diwujudkan jentera SRS di semua kampung secara berperingkat-peringkat bagi mengekang kadar jenayah secara serius,” katanya..

Sementara itu Pengerusi KRT Darat Batu Rakit, Zainal Awang Ngah, pihaknya membahagikan unit SRS kepada tiga kumpulan bagi memudahkan kerja-kerja rondaan dilakukan.

“Alhamdulillah, setakat ini, kerjasama yang ditunjukkan ahli sangat memberangsangkan dan kita tiada masalah untuk buat rondaan, ditambah dengan kelengkapan yang mencukupi untuk kerja-kerja meronda.

“Sekatan jalan turut dilakukan di semua pintu masuk dan keluar kampung yang utama bagi memastikan penjenayah tidak terlepas dan dalam masa sama memberi peringatan bahawa setiap tindakan mereka telah diperhatikan,” katanya.

 Penolong Pegawai Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Daerah Kuala Terengganu, Ahmad Rizal Abd Razak berkata, kesemua SRS di Dun berkenaan telah dibekalkan dengan peralatan untuk keselamatan petugas yang meronda.

“Sehingga kini, kesemua SRS telah mendapatkan peralatan masing-masing antaranya vest, cota, lampu suluh, walkie talkie.

“Malah, kita juga dalam proses untuk melakukan pembaikan berkenaan teknik penggunaan walkie talkie kepada semua ahli SRS,” katanya.