Halaman

26 January 2014

800 hadiri malam cinta rasul

Oleh: Amirullah Othman dan Noraini Jusoh

Seramai 800 orang menghadiri program Malam Cinta Rasul peringkat Parlimen Marang di Masjid Kampung Beladau Selat, semalam.
Program yang dianjurkan Majlis Belia Daerah Marang itu bertujuan memberi kesedaran kepada umat Islam khususnya golongan muda supaya mencontohi kepimpinan Nabi Muhammmad s.a.w.

Pegawai Khas kepada Menteri Besar, Tuan Haji Saiful Bahri Baharuddin berkata, sempena sambutan Maulidur Rasul kali ini, Malam Cinta Rasul diadakan bagi mendekatkan lagi para belia dengan program berbentuk keagamaan.

“Ia juga bertujuan untuk menyemarakkan aktiviti sambutan Maulidur Rasul terutama di kalangan generasi muda.

“Kita bukan sekadar mahu meraikan hari kelahiran Rasulullah s.a.w semata-mata, tetapi sambutan ini juga diharapkan dapat menghimpunkan golongan muda terutamanya supaya dapat diperdengarkan kepada mereka kisah-kisah Rasulullah s.a.w sebagai teladan,” ujarnya ketika berucap di majlis berkenaan.

Katanya, program itu bermula kira-kira jam 7.30 malam dengan solat maghrib secara berjemaah yang diimamkan Ustaz Hafaz Ali yang merupakan Qari Terengganu.

Kemudian, diikuti dengan majlis berselawat ke atas junjungan Rasulullah s.a.w yang diketuai oleh Ustaz Hafaz Ali.

Selepas itu, Pegawai Khas kepada Menteri Besar Terengganu, Ustaz Kamaruddin Omar menyampaikan tazkirah yang bertajuk Rasulullah ikutan sepanjang zaman.

Majlis diakhiri dengan para tetamu yang hadir mengerjakan solat isyak secara berjemaah sebelum menikmati jamuan ringan yang disediakan.