Halaman

14 January 2014

11,000 sertai perarakan Maulidul Rasul

Oleh: Noraini Jusoh

Tradisi sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri Terengganu yang diadakan setiap tahun berlangsung meriah apabila kira-kira 11,000 umat Islam dari pelbagai agensi menyertai perarakan sambil berselawat ke atas junjungan Nabi Muhammad s.a.w, hari ini.

Perarakan sejauh 2.4 kilometer bermula dari Dataran Shahbandar melalui Jalan Sultan Zainal Abidin, Bulatan Batu Bersurat, Jalan Sultan Mahmud berakhir di Stadium Negeri.



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, barisan Exco kerajaan negeri, ketua jabatan dan pegawai kanan kerajaan turut menyertai perarakan sebagai memperingati Hari Keputeraan Rasulullah s.a.w.

Pasukan beruniform, sekolah dan institusi pengajian tinggi, jabatan kerajaan Persekutuan dan jabatan kerajaan negeri, sektor swasta di samping badan-badan bukan kerajaan serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) seluruh negeri turut mengambil bahagian.

Bagi menghargai penglibatan kontijen dalam perarakan, hadiah turut disediakan berbentuk wang tunai dan sijil penghargaan kepada pemenang dimana tempat pertama membawa pulang wang tunai RM3000.


Kolej Universiti Tati (TATiUC) memenangi kategori jabatan kerajaan negeri dan badan berkanun negeri manakala kategori jabatan kerajaan dan badan berkanun Persekutuan dimenangi oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Sementara Taman Tamadun Islam (TTI) Management Sdn Bhd menjuarai kategori syarikat-syarikat terpilih dan swasta.


Selain itu, Sekolah Menengah Imtiaz Kuala Terengganu pula memenangi kategori sekolah menengah dan institut pengajian tinggi manakala kategori JKKK dimenangi oleh JKKK Jalan Tekukur.

Selain perarakan, sambutan peringkat negeri dimeriahkan dengan pertandingan mewarna huruf jawi, bercerita, penulisan khat serta kebersihan dan keceriaan masjid.