Halaman

07 January 2014

10 petani menyertai tanaman padi organik


YB Nawi Mohamad memandu jentera mencedung padi

Oleh: Mohammad Ishak 

Jabatan Pertanian Terengganu memperkenalkan kaedah tanaman padi organik membabitkan peserta dari Kampung Durian Telor,Hulu Besut.

Projek printis membabitkan kawasan seluas 20 hektar dengan tanaman padi tanpa menggunakan racun dan bahan kimia itu akan disusuli dengan tanaman dan projek ternakan lain.

Pemilihan Kampung Durian Telor sebagai projek printis kerana kampung itu dijadikan program “My Kampung My Future” oleh Kementerian Pertanian dan In dustri Asas Tani.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri, Nawi Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, merasmikan upacara mencedung padi organik pagi tadi.

Seramai 10 petani dari kampung itu menyertai projek tanaman padi organik dan mereka dijangka mendapat hasil tuaian selepas 100 hari menanamnya.

Nawi berkata, jika semua perancangan berjalan lancar semua hasil tanaman dan ternakan oleh penduduk kampung itu akan menggunakan kaedah organik.

Projek MKMF Kampung Durian Telor, adalah yang pertama di Terengganu dan kelapan di Malaysia yang dipilih oleh kementerian terbabit.

Berikutan itu,katanya, jawatankuasa penyelaras MKMF akan memohon RM1.6 juta daripada kementerian untuk menjayakan pelbagai program berasaskan pertanian dan ternakan sepanjang tahun ini.