Halaman

23 December 2013

Sultanah Nur Zahirah berkenan menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir

Oleh: Suriati Ali, Nurul Azila Saberi dan Mohd Syazni Zainudin (Pelatih)



Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah yang juga penaung Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) cawangan Terengganu berkenan berangkat menyampaikan sumbangan kepada mangsa-mangsa banjir di Dewan Serbaguna Kampung Fikri, Kemaman.

Turut berkenan berangkat anakanda baginda, Tengku Nadhirah Zahrah dan Tengku Fatimatuz Zahra’.

Keberangkatan baginda diiringi Raja Puan Muda Perak yang juga Naib Dipertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah.

Sebaik tiba, doa dibacakan, kemudiannya Sultanah Nur Zahirah berkenan menyampaikan sumbangan kepada mangsa-mangsa banjir.

Selepas itu, baginda bersama dua anakanda mencemar duli menyertai aktiviti gotong royong membersih rumah, Suniah Mohamad, 36 yang tinggal bersebelahan dewan.

 Pada majlis itu, seramai 600 penduduk Kg Fikri hadir menerima sumbangan berupa perkakas elektrik dan barang keperluan dapur seperti beras, minyak masak, susu pekat dan gandum.

Sumbangan berjumlah  kira-kira RM40,000 itu diperoleh daripada pelbagai sumber, termasuk ahli PPPM, pelbagai syarikat korporat dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).