Halaman

19 December 2013

Skuad Sayang tawar khidmat tenaga

Oleh: Nurul Azila Saberi

Seramai 3,000 ahli Skuad Sayang Pergerakan Wanita Umno Pahang, Terengganu dan Johor berpadu tenaga bersedia menawarkan khidmat tenaga sukarela untuk membersihkan rumah dan melakukan kerja memindahkan barangan serta perabot dalam rumah khususnya kepada mangsa banjir yang uzur.

Ketua Pergerakan Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, mangsa banjir yang memerlukan bantuan hanya perlu menghubungi atau berjumpa Ketua Wanita Umno Bahagian atau Ketua Wanita Umno Cawangan di tempat masing-masing.

“Mereka yang perlukan bantuan untuk mencuci rumah atau mahu memindahkan barangan dalam rumah terutama bagi mangsa banjir yang tidak terdaya seperti warga emas dan ibu tunggal boleh menghubungi Ketua Wanita Umno di tempat mereka.

 “Mangsa hanya perlu memberitahu alamat mereka dan jumlah tenaga sukarela yang diperlukan,” katanya kepada pemberita selepas bergotong-royong membersihkan Balai Raya Bandar Baru Bukit Mentok, di sini, petang semalam.

Turut bergotong-royong, Ketua Penerangan Pergerakan Wanita Umno, Datuk Rosni Zahari, Ketua Wanita Umno Selangor, Senator Datin Paduka Norhayati Onn, Ketua Wanita Umno Terengganu, Datuk Fatimah Hamat dan Setiausaha Umno Bahagian Kemaman, Rosli Ahmad.

Seramai 400 Skuad Sayang dari Pergerakan Wanita Umno seluruh bahagian di Terengganu turut sama membersihkan balai raya berkenaan di samping mengagihkan bantuan berupa barangan keperluan dapur dan keperluan harian kepada 250 keluarga di sekitar Bandar Baru Bukit Mentok.

Mengulas lanjut, Shahrizat berkata, sejak lapan tahun lalu, sudah menjadi kelaziman Skuad Sayang membantu agensi kerajaan di pusat pemindahan dengan memasak dan melakukan lain-lain kerja serta turun dari rumah ke rumah membantu mangsa banjir membersihkan rumah sebaik banjir pulih.

Katanya, sejak banjir melanda sehingga sekarang Pergerakan Wanita Umno menerima banyak sumbangan dalam pelbagai bentuk daripada banyak pihak dan pihaknya turut menambah bantuan itu sebelum disalurkan kepada mangsa banjir.