Halaman

11 December 2013

SIDANG DUN: Tingkat kemudahan infrastruktur di Pekan Kuala Besut

Oleh; Esah Abdullah 

Kerajaan negeri diberitahu masih terdapat banyak ruang-ruang yang perlu diisi dalam usaha menarik kedatangan pelancong ke negeri ini khususnya ke Pulau Perhentian, Besut.

YB Tengku Zaihan Cik Ku Abdul Rahman (BN- Kuala Besut) berkata langkah perlu diambil untuk meningkatkan kemudahan infrastruktur di Pekan Kuala Besut yang merupakan pintu masuk utama para pelancong untuk ke Pulau Perhentian.

"Beberapa kemudahan termasuklah pembinaan stesen bas yang lebih moden dan pemasangan mesin ATM mampu memberi keselesaan dan keyakinan orang ramai," katanya dalam sesi Perbahasan Bajet 2014 di Sidang Dewan Undangan Negeri, Kuala Terengganu.

Katanya, Pulau Perhentian merupakan tempat tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara yang datang menjalankan pelbagai aktiviti termasuk menyelam yang mungkin akan mendatang kerosakan kepada khazanah alam semula jadi yang amat bernilai di kawasan itu.

Oleh itu katanya, pihak terbabit perlu mengadakan lebih banyak program untuk memberi kesedaran kepada masyarakat menjaga dan mengekalkan ketahanan khazanah alam dalam jangka masa panjang agar dapat diwarisi generasi akan datang.

Beliau juga berharap projek Industri Kecil dan Sedehana (IKS) diberi ruang seluas-luasnya kepada anak tempatan untuk menghasilkan produk-produk berasaskan ikan dan sebagainya bagi meningkatkan pendapatan keluarga.

Tambahnya, sektor pertanian khususnya penanam padi perlu diberi perhatian serius dan menjadikan ia sebagai sumber pendapatan utama para petani yang mana beras merupakan makanan asasi rakyat di negara ini.