Halaman

09 December 2013

SIDANG DUN: Terengganu terima pelaburan dalam masa terdekat

Oleh: Aida Abd Rahman, Suriati Ali dan Noraini Jusoh

Terengganu dijangka akan terus menerima kemasukan pelaburan bagi projek berskala besar dalam masa terdekat.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, perkembangan positif itu berdasarkan kepada perjanjian awal syarikat Angsana Platinum SB, Itali dan Huaxicun ,China yang bersetuju melabur di Tasik Kenyir.

“Kedua-duanya melibatkan pelaburan dalam sektor pelancongan yang menumpukan kepada pembangunan resort dan hotel.

“Ia melibatkan pelaburan sebanyak 265 juta USD atau kira-kira RM800 juta dari Itali dan pelaburan dari Syarikat Huaxicun, China sebanyak RM500 juta, iaitu RM300 juta di Tasik Kenyir dan RM200 juta di Pulau Perhentian,” katanya kepada pemberita sempena Persidangan DUN Terengganu Ke-13 (Bajet 2014) hari pertama, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas soalan dikemukakan YB Mohd Iskandar Jaafar (Jabi-BN) mengenai jumlah nilai pelaburan terus pelabur luar negara (FDI) di Tasik Kenyir dan Teluk Kalung, ketika sesi menjawab soalan lisan persidangan DUN.

Tambah beliau lagi, pelabur tempatan turut menunjukkan minat untuk melaksanakan projek di Tasik Kenyir sebaik sahaja melihat potensi pembangunan kawasan itu  sebagai Pulau Bebas Cukai.

Antara pelabur domestik berkenaan ialah Bayas Resources Sdn Bhd (RM130 juta), Emperor Travel Sdn Bhd (RM500 juta) dan Epic Sdn Bhd Fasa 1 (RM10 juta).

Selain itu, syarikat yang berpangkalan di Abu Dhabi turut menunjukkan minat untuk melabur di negeri ini dan belum mengesahkan jumlah sebenar  pelaburan yang dijangka sekitar 100 juta hingga 150 juta USD.