Halaman

12 December 2013

Pungutan zakat Maidam cecah RM97 juta sehingga November

Oleh: Noraini Jusoh

Jumlah pungutan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) sehingga November lalu berjumlah RM97,312,454 berbanding RM86 juta sepanjang tahun lepas.

Pengarah Jabatan Baitulmal Maidam, Mohd Noor Mohamad (gambar) berkata, sasaran untuk memungut sebanyak RM120 juta tahun ini dijangka akan membuahkan hasil berikutan sehingga kini pungutan zakat oleh Maidam sudah melebihi RM10 juta berbanding sepanjang tahun lepas.

"Saya yakin angka RM120 juta dapat dicapai kerana kebiasaannya dua minggu terakhir bulan Disember merupakan 'masa kemuncak' bayaran zakat yang akan dibuat oleh orang ramai.

“Bagi memudahkan orang ramai, Maidam akan membuka kaunter pungutan zakat pada dua minggu terakhir, tujuh hari seminggu mulai 8.30 pagi hingga 4.30 petang dan pada hari terakhir, kaunter akan dibuka sehingga 12 tengah malam,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada majlis penyerahan Zakat Perniagaan oleh Bank Rakyat kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) di Istana Syarqiyyah, Chendering, semalam.

Pada majlis itu, Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menerima wang zakat berjumlah RM1.078 juta daripada Bank Rakyat.

Menurut Mohd Noor, daripada RM97 juta zakat yang berjaya dipungut Maidam itu, sebanyak RM51 juta telah diagihkan kepada golongan asnaf yang layak seperti fakir miskin, mualaf dan fisabilillah.

Katanya, untuk tahun ini pungutan terbesar zakat oleh Maidam datang daripada zakat pendapatan sebanyak RM38 juta diikuti perniagaan (RM29 juta) serta simpanan (RM17 juta).

Dalam pada itu katanya, bagi meringankan beban golongan asnaf yang dilanda musibah banjir baru-baru ini, Maidam juga akan menimbangkan jumlah agihan yang akan diberikan kepada fakir miskin berdasarkan keadaan dan keperluan mereka pada waktu pasca (selepas) banjir.