Halaman

01 December 2013

Pengerusi Biotech terima ijazah kedoktoran kehormat dari UniSZA

Pengerusi Perbadanan Bioteknologi Malaysia (BiotechCorp) Prof Emeritus Dato' Seri Zakri Abdul Hamid dianugerah ijazah kedoktoran kehormat dalam Bioteknologi dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) sempena konvokesyen kelima universiti itu di Kuala Terengganu, semalam.

Dato' Seri Zakri yang juga Pengerusi bersama Kumpulan Teknologi Tinggi Industri -Kerajaan Malaysia (MIGHT), berkata beliau berbesar hati dan berterima kasih kepada UniSZA atas penganugerahan ijazah kedoktoran kehormat itu sebagai menghargai kerja-kerjanya dalam bidang bioteknologi.

"Banyak lagi yang perlu dilakukan, dan saya sangat yakin bahawa menerusi sokongan institusi pengajian tinggi seperti UniSZA, kita boleh merealisasikan potensi sebenar dalam bidang ini," katanya dipetik berkata dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh MIGHT.

Dato' Sri Zakri yang baru-baru ini merupakan antara 26 tokoh yang dilantik sebagai anggota Lembaga Penasihat Saintifik Setiausaha Agung PBB, melakar sejarah apabila dipilih sebagai Pengerusi pertama Platform Dasar Sains mengenai Biokepelbagaian dan Perkhidmatan ekosistem Antara Kerajaan PBB.