Halaman

11 December 2013

SIDANG DUN: Wujud penempatan baru atasi sekolah kurang murid

Oleh; Esah Abdullah

 Kerajaan negeri disaran mewujudkan kawasan perumahan mampu milik berhampiran sekolah-sekolah yang mempunyai kekurangan murid di negeri ini.

YB Haji Bazlan Abdul Rahman (BN-Batu Rakit) berkata terdapat beberapa sekolah rendah di negeri ini tidak ada pertambahan murid setiap sesi persekolahan baru bermula malah semakin berkurang setiap tahun.

"Kerajaan perlu lakukan sesuatu bagi mengelak sekolah yang ada ditutup kerana kekurangan pelajar," katanya ketika mengambil bahagian dalam sesi Perbahasan Bajet 2014 di Persidangan Dewan Undangan Negeri pada hari kedua petang semalam.

 Beliau juga menyarankan pihak kerajaan mewujudkan satu skim galakan bagi membantu golongan nelayan yang ingin memiliki enjin bot baru kerana harga enjin bot yang mencecah RM10,000 itu tidak mampu dibeli oleh nelayan biasa.

 "Melalui skim berkenaan dapat meringankan beban nelayan yang terpaksa mengeluarkan belanja setiap minggu untuk membaiki kerosakan enjin dan bantuan peralatan lain juga boleh disalurkan dalam bentuk subsidi," katanya.

YB Haji Bazlan juga ingin merelisasikan konsep kerajaan bahawa pertanian adalah satu perniagaan dan mencadangkan para petani yang mengusahakan tanaman padi dapat dilakukan dua kali setahun untuk menjana hasil yang lebih baik.