Halaman

16 December 2013

Maidam akan salur bantuan dalam bentuk keperluan asas

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) bercadang memberi bantuan dalam bentuk keperluan asas menggantikan bantuan kewangan kepada fakir miskin di negeri ini, mulai tahun depan.

Pesuruhjaya Maidam, Dato’ Haji Rozali Salleh berkata, pihaknya mengakui ada sesetengah fakir miskin yang menyalahgunakan bantuan yang diberikan oleh Maidam.

“Ada fakir miskin yang mendapat bantuan bulanan Maidam bagaimanapun wang itu tidak digunakan untuk membeli barangan keperluan, sebaliknya dibelanjakan untuk perkara tidak bermanfaat,” ujarnya.

Sehubungan itu katanya, Maidam akan melancarkan program membeli barangan keperluan yang dikenali sebagai Program Kedai Runcit Asnaf secara besar-besaran mulai awal tahun depan.

 “Maidam sendiri akan membeli barangan keperluan asas berkenaan melalui kedai yang dilantik serta menghantarkannya ke rumah fakir miskin.

“Dijangkakan 100 kedai runcit terpilih di Terengganu akan terbabit dalam program ini dan mana-mana kedai runcit yang berminat untuk menjadi pembekal boleh memohon,” katanya.

Katanya, Maidam juga sedang menapis senarai nama penerima program yang layak dari pangkalan data e-Kasih bagi menyalurkan bantuan berkenaan yang bernilai hampir RM1 juta sebulan.

“Perbelanjaan setahun untuk program ini dianggarkan RM11.8 juta membabitkan 5,100 penerima,” jelasnya.