Halaman

22 December 2013

KRT berjaya menyatupadukan masyarakat pelbagai kaum – YB Muhamad Pehimi Yusof


YB Muhamad Pehimi menerima cederamata dari Burhanuddin Daud

Oleh: Mohammad Ishak 

Penubuhan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) negeri ini berjaya menyatupadukan masyarakat pelbagai kaum dengan adanya aktiviti yang dirancang oleh organisasi terbabit.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita,Keluarga dan Masyarakat Negeri, Yang Berhormat Muhamad Pehimi Yusof berkata, KRT platform terbaik untuk dijadikan contoh sebagai badan bukan kerajaan (NGO) yang mampu mendekati rakyat.

Katanya, katanya, KRT diasaskan dengan matlamat asal sebagai konsep kejiranan kini melampaui tanggungjawab apabila mempunyai 12 bidang utama sebagai teras aktiviti untuk masyaraakat.

Menurutnya, tugas dan tanggung jawab KRT kini mendapat pegiktirafan masyarakat dan kerajaan terutama dengan adanya Skim Rondaan Sukarela (SRS) yang berjaya membantu mencegah aktiviti jenayah setempat melalui rondaan.

“Kerajaan negeri sedia memberi perhatian terhadap peranan dan tanggungjawab yang dilakukan oleh KRT kerana ia sebuah badan yang sudah membuktikan kejayaan dalam menyatupadukan masyarakat pelbagai kaum,” katanya pada Majlis Jalinan Perpaduan KRT Daerah Besut di Demong Beach Resort, Besut.

Kira-kira 200 pemimpin KRT seluruh daerah Besut menghadiri majlis pertama bersama YB Muhamad Pehimi sejak dilantik Ahli Exco Kerajaan Negeri yang turut bertanggungjawab terhadap Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN).


Hadir sama Pengarah JPNIN Terengganu, Burhanuddin Haji Daud, Ketua Polis Daerah Besut, Superentandan Kamaruddin Mohd Zakaria dan Pegawai Perpaduan Daerah Besut, Nor Almizan Mahmud.


Muhamad Pehimi yang juga ADUN Jertih, berharap KRT terus menyumbang untuk kesejahteraan masyarakat selain membantu pihak berkuasa mencegah jenayah dengan meningkatkan lagi usaha penubuhan lebih banyak SRS pada tahun hadapan.