Halaman

26 December 2013

Kerajaan negeri taja 30 imam bilal tunai haji tahun ini

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri menaja 30 orang di kalangan imam, bilal dan kakitangan kerajaan membabitkan kos RM299,400 untuk mengerjakan ibadat haji pada tahun ini.

Daripada jumlah itu, pegawai dan kakitangan awam (17), Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan kemajuan Kampung (8), imam (3), bilal dan penerima anugerah Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), masing-masing seorang.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi dan Tugas-Tugas Khas negeri, YB Ghazali Taib berkata kakitangan awam yang terpilih merupakan penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (ACP) Negeri Terengganu.

“Pengerusi JKKK, Imam dan bilal pula dipilih berdasarkan tempoh perkhidmatan tidak kurang daripada empat tahun berturut-turut serta mendapat sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan dan juga Pegawai Daerah atau Pegawai Agama Daerah.

“Sementara penerima anugerah JHEAT pula terdiri daripada ereka yang pernah menerima anugerah imam bilal cemerlang, pernah memenangi pertandingan anjuran JHEAT seperti pertandingan Tilawah al-Quran dan Hafazan peringkat negeri serta sebgainya, katanya sebagai mengulas soalan bagi jawapan bertulis oleh YB Mohd Abdul Wahid Endut (Wakaf Mempelam-Pas), di Sidang DUN, baru-baru ini.

Sementara itu, YB Ghazali berkata, seramai 221 pelajar tajaan Yayasan Terengganu yang menuntut di Mesir dan daripada jumlah itu 50 sahaja yang pulang ketika pergolakan di negara itu, baru-baru ini.

Katanya, sementara pelajar lain sudah berada di Malaysia kerana pulang bercuti semester dan semua kos ditanggung oleh pelajar sendiri.

“Pengurusan membawa balik pelajar terbabit dituskan sepenuhnya oleh Kerajaan Pusat dan tiada sebarang kos yang ditanggung oleh kerajaan negeri untuk proses itu,” katanya.

Sehingga kini, seramai 206 pelajar kembali belajar di Mesir.