Halaman

25 December 2013

Kempen cintai haiwan kesayangan dapat sambutan




Oleh: Mohammad Ishak

Kempen mencintai haiwan kesayangan anjuran Pejabat Perkhidmatan Veterinar Daerah Besut semalam mendapat sambutan orang ramai khusnya pemilik haiwan kesayangan.

Program sehari yang pertama kali diadakan bertujuan memberi peluang orang ramai mengenali budaya menyangi haiwan selain mendapatkan khidmat nasihat percuma dari jabatan berkenaan.

Pegawai Perkhidmatan Veterinar Besut, Nik Mohd Hafiz Ramli berkata, sempena program itu pihaknya turut mengeluarkan kad pengenalan haiwan kesayangan,klinik terbuka dan pertandingan cintai haiwan tersayang.

Selain itu, katanya, orang ramai juga berpeluang mengikuti ceramah bertajuki “Penyakit Haiwan Kesayangan Kepada Manusia” serta cara penjagaan haiwan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani,Perusahaan Perladangan, Nawi Mohamad ketika merasmikan program itu meminta masyarakat agar tidak sewenang-wenangnya membuang binatang terutama kucing di jalanan, sebaliknya menyerahkan haiwan terbabit kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) negeri.

Hadir sama ialah Pengarah JPV Terengganu Dr Marzuki Zakaria.

Katanya, ini kerana JPV Terengganu menyediakan pusat khas untuk memelihara haiwan berkenaan.

Tindakan membuang kucing di tempat awam seperti pasar dan hospital malah kadang-kadang masjid bukan sahaja tidak wajar tetapi juga menimbulkan masalah kepada pemilik premis, katanya ketika menutup Kempen Cintai Haiwan Kesayangan di Pejabat Veterinar Besut, di sini semalam.


Beliau juga menegaskan Islam turut melarang umatnya menganiaya binatang, malah mereka wajib memastikan haiwan yang dipelihara dijaga dengan baik. 


Dalam kempen anjuran JPV Terengganu itu, lebih 50 ekor kucing diperiksa oleh pegawai veterinar yang turut menyediakan perkhidmatan memasang cip mikro secara percuma.









Kempen cintai haiwan kesayangan dapat sambutan