Halaman

17 December 2013

Jadikan anak-anak sebagai kawan- Dato' Sabri.

Sabri..didik anak dengan baik.
Oleh: Aminudin Ismail.

LANGKAP: Ibubapa di kawasan ini disaran supaya menjadikan anak-anak mereka sebagai kawan bagi memudahkan ibubapa memahami segala permasalahan anak-anak, kata Adun Langkap, Dato' Sabri Mohd Nor.

Sabri berkata, sekiranya ibubapa itu mahu anak-anak mereka rapat dengannya, ibu-bapa itu hendaklah menjadikan anak-anak mereka sebagai kawan.

"Saya berharap sekiranya kita mahu mendidik anak-anak kita dengan lebih sempurna, kita mesti rapatkan hubungan antara anak dan ibubapa.

"Jika ibu, mereka tidak menjadi masalah sangat kerana mereka sentiasa rapat dengan anak-anak mereka. Oleh itu, kalau boleh kita sebagai bapa, jadikan anak-anak kita sebagai kawan supaya mudah bagi kita berinteraksi dan mengetahui segala permasalahan mereka," katanya.

Sabri juga mengingatkan ibubapa supaya tidak mengharapkan kepada guru-guru semata-mata dalam mendidik anak-anak kerana tugas mendidik juga terletak di tangan ibu-bapa.

"Kita sebagai ibubapa hendaklah memupuk anak-anak kita supaya menjadi manusia yang hebat, manusia yang baik dan manusia yang berguna.

"Pepatah Melayu ada mengatakan kalau hendak melentur buluh biarlah dari rebungnya, oleh itu saya berharaplah, jika kita mahu menjadikan anak-anak kita anak yang hebat, didiklah mereka dari awal-awal lagi," katanya ketika berucap merasmikan satu majlis di Sungai Tong, dekat sini, baru-baru ini.