Halaman

19 December 2013

Daerah Hulu Terengganu cemerlang PMR 2013.

Shafruddin..capai realisasi.
Oleh: Aminudin Ismail.

KUALA TERENGGANU: Daerah Hulu Terengganu satu-satunya daerah yang mencapai sasaran 10 peratus yang ditetapkan kerajaan negeri ini sejak 2008, dalam keputusan peperiksaan PMR yang diumumkan hari ini.

Daerah itu mencapai keputusan 10.41 peratus di mana seramai 156 daripada 1499 calon pelajarnya yang menduduki PMR tahun ini mendapat semua A.

Pegawai Pelajaran Daerah (PPD) Hulu Terengganu, Shafruddin Ali Hussin, berkata pencapaian itu amat membangga semua pihak dan beliau mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada semua guru-guru dan pelajar yang terbabit dengan PMR tahun ini.

"Ini menjadikan kita tempat pertama di Terengganu manakala gred purata pula meningkat dari 2.52 kepada 2.51 dengan menduduki 'ranking' kedua di Terengganu manakala yang lulus semua mata pelajaran ialah sebanyak 68.45 peratus," katanya.

Menurutnya, seramai 116 pelajar mendapat 8A dan 40 pelajar mendapat 9A, Sekolah Imtiaz Kuala Berang sekolah terbaik daerah dan tempat kedua di Terengganu manakala Sains Hulu Terengganu (Sahut) pula ke dua terbaik 'straight' A di Terengganu dengan 61.94 peratus.

"Tiga buah sekolah mencapai keputusan 100 peratus iaitu Sekolah Menengah (SM) Imtiaz Kuala Berang, SM Sains Hulu Terengganu dan SM Tengku Ampuan Intan. Ini bermakna moto kami iaitu 'Jadi Sunggoh Hulu Terengganu 2013' sudahpun direalisasikan," katanya ketika di hubungi Teganukita.