Halaman

18 December 2013

BENARKAH AHMAD SAID ROBIN HOOD....LAGI PENGAKUAN DARI PEMANDU LORI GARDENIA

Bahagian KEDUA:

Oleh: Ruslan Abdul Rahman

  Jumat yang berasal dari Negeri Sembilan sudah 10 tahun bekerja sebagai pemandu lori roti Gardenia itu amat kagum dengan keberanian Menteri Besar Terengganu yang sanggup menghadapi apa sahaja risiko demi untuk menolong orang ramai.



 “Sebenarnya kami dan ramai pengguna jalan raya sudah terpangkap di sini sejak 4 Disember 2013 (hari Rabu) dan kebetulan pada 5 Disember kira-kira jam 9.00 pagi Menteri Besar Terengganu pulang dari Kuala Lumpur melalui jalan itu,” katanya.
  Difahamkan beliau (MB) meninggalkan persidangan Umno semata-mata untuk bersama penduduk Kemaman yang sedang dilanda banjir.
  Memanglah ramai di kalangan kanak-kanak dan orang tua-tua dalam keadaan kelaparan kerana sudah hampir dua hari terperangkap.
 Katanya, semua makanan di kedai runcit di ‘ stesen minyak Shell’ berhampiran sudah kehabisan dan lain-lain kedai semuanya ditutup.

DI DEPAN AIR, DI BELAKANG AIR...

 Ibarat kata, di depan ada air, di belakang juga ada air, hendak redah tidak mampu, hendak berpatah balik pun tidak dapat, terperangkap di jalan raya di dalam lingkaran air.
 Sudah ramai mangsa meminta kami membuka pintu lori untuk mendapatkan roti, tetapi kami tidak berani kerana makanan itu bukan milik kami sebagai pamandu dan penghantar,” kata Jumat.
 Kesemua lori roti Gardenia ini berjumlah empat buah yang terperangkap di situ, dua buah untuk ke Kota Bharu dan dua lagi untuk ke Kuala Terengganu.
  “Kami tidak berani membuka pintu bahagian belakang lori yang mengandungi roti-roti yang hendak di hantar ke Kota Bharu Kelantan dan Kuala Terengganu kerana ia adalah milik majikan kami,” kata Jumat.
 “Menteri Besar Terengganu berunding dengan kami dan sanggup membayar RM10 ribu untuk membeli roti-roti tersebut, tetapi kami tidak boleh menerima bayaran atau menjual roti itu kerana itu di luar tugas kami,” sambung Jumat menceritakan secara lanjut kejadian itu.
 Mereka selaku pemandu lori-lori berkenaan mencadangkan kepada Dato’ Seri Ahmad supaya menghubungi majikannya dan Dato’ Seri berbuat demikian.
 Beritahu Jumat, talian telefon kurang elok dan percakapan Menteri Besar Terengganu dengan majikannya terputus-putus.
  Hasilnya, kami bersetuju untuk membuka ‘seal’ kunci pintu belakang lori itu dengan syarat gambar diambil dan dirakamkan bahawa Dato’ Seri Haji Ahmad yang mengambil perjalanan itu untuk dihantar kepada majikan kami.
  “Di sinilah kami tengok keberanian, tegas dan kesungguhan MB Terengganu itu untuk membantu mangsa banjir yang kelaparan, terperangkap di jalan raya itu,’ kata Jumat.
  Setelah membuka pintu bahagian belakang lori itu, Dato’ Seri Ahmad membahagi-bahagikan roti itu kepada mangsa-mangsa dengan penuh kasih sayang dan meminta jangan berebut-rebut.

ROBIN HOOD?

Apakah cara ini boleh disamakan dengan 'Robin Hood' lagenda yang mengisahkan tentang seorang penjahat budiman.
 Robin Hood juga musuh kepada para penguasa dengan merompak harta dan membahagikan kepada rakyat.
 Tentulah tidak sama sekali kerana apa yang dilakukan oleh Dato' Seri Ahmad adalah secara persetujuan dan bukannya cara Robin Hood.
  Apakah yang terjadi dan berita yang tersebar selepas itu dan bagaimana akhir kebenarannya seorang yang bernama Ahmad Said......

 Ikuti sambungan seterusnya di bahagian ke 3.


Bahagian Pertama- 
untuk rujukan kepada yang belum membacanya- Pengarang.

MENTERI Besar Terengganu , Dato’ Seri Haji Ahmad Said dilaporkan mengambil roti dari beberapa buah lori Gardenia untuk dibahagikan kepada para pengguna jalan raya Kuantan- Kemaman yang terperangkap banjir di Cendor, sempadan Kemaman Terengganu dan Pahang.
Ramai yang ingin tahu kisah sebenar tentang kejadian 5 Disember 2013 yang lalu itu. Apakah diambil secara tidak sah atau dengan keizinan? Apakah menjadi ‘Robin Hood’ atau itu hanya momokan untuk memburuk-burukkan beliau.
“Bagi saya Menteri Besar Terengganu seorang yang baik hati, berani dan sanggup berkorban demi menyelamatkan pengguna-pengguna jalan raya terutama kanak-kanak dan orang tua yang kelaparan,” kata Encik Jumat Mamat, 43 tahun, pemandu lori roti Gardenia yang terperangkap banjir di Cendor, sempadan Kemaman Terengganu dan Pahang.
Baginya itulah pemimpin contoh yang dikagumi dan menafikan sama sekali dakyah yang menuduh Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said menjadi ‘Robin Hood’, merampas roti untuk diagih-agihkan kepada orang ramai, pengguna jalan raya yang terperangkap di situ sejak dua hari lebih.
“MB Terengganu ambil dan membuka pintu lori itu dengan keizinan saya setelah menghubungi bos saya melalui telefon,” kata Jumat seorang pemandu yang setia pada majikannya.