Halaman

20 December 2013

Anak penoreh getah cemerlang PMR

Oleh: Noraini Jusoh

Sentiasa fokus terhadap apa yang diajar guru dan menjadikan amalan membaca surah yasin setiap pagi dan malam sebagai rutin hariannya, nyata tidak sia-sia apabila anak penoreh getah, Abdul Jabbar Hudd Mohd Saimi, 15, cemerlang dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2013 yang diumumkan, semalam.

Abdul Jabbar yang berasal dari Kampung Bukit Agu, Batu Rakit tersenarai sebagai salah seorang pelajar terbaik antara 73 pelajar yang mendapat 8A daripada 100 calon keseluruhan Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (Sesma).

Berkongsi rahsia kejayaan, katanya walaupun gemar mengulang kaji di saat akhir, beliau akan memberi sepenuh tumpuan terhadap apa yang dipelajarinya.

“Saya juga akan menghadiri setiap kelas tambahan yang cikgu buat dan sentiasa menghormati mereka,” katanya yang bercita-cita menjadi pakar dalam bidang farmasi.

Anak sulung daripada enam beradik ini berjaya membuktikan bahawa kemiskinan bukanlah faktor penghalang untuknya mencapai kecemerlangan.

“Saya sangat gembira dan bersyukur dengan keputusan yang diperoleh ini dan ingin menghadiahkan kepada kedua ibu bapa yang banyak bersusah payah membanting tulang demi memberikan pendidikan terbaik kepada kami adik-beradik.

“Walaupun ayah seorang penoreh getah dan emak pula hanya suri rumah, saya tidak menjadikan itu sebagai alasan mengapa saya tidak boleh berjaya seperti orang lain,” ujar Abdul Jabbar anak kepada pasangan Mohd Saimi Daud dan Zuriah Ibrahim.

Sementara itu, bagi Syiraz Mohd Ali Jaafar ,15, cara pembelajarannya yang lebih santai iaitu gemar belajar secara berkumpulan bersama kawan-kawan banyak membantu beliau mendapat keputusan cemerlang dalam PMR.

Anak kedua daripada empat beradik yang berasal dari Seberang Takir ini, berjaya mengekalkan keputusan 8A sama seperti yang diperolehnya ketika ujian percubaan PMR.

Merupakan seorang pelajar yang aktif di Sesma, selain pembelajaran di kelas Syiraz akan memastikan beliau akan cukupkan empat jam dalam sehari bagi mengulang kaji pelajaran.

“Saya meminati muzik dan merupakan salah seorang ahli orkestra sekolah, jadi jadual harian saya sentiasa padat dengan latihan orkestra, justeru saya perlu pandai bahagikan masa dan lebih suka belajar pada waktu malam,” katanya.

Berkongsi kejayaan beliau dan rakan-rakannya, menurut Syiraz, sistem ‘Guru Muda’ yang diperkenalkan di sekolahnya banyak membantu mereka sama-sama cemerlang dalam PMR.

Katanya, ‘Guru Muda’ yang terdiri daripada pelajar bijak yang dilantik guru akan membantu pelajar lemah menguasai sesuatu mata pelajaran yang kurang difahami.

“Kami juga akan bekerjasama dan saling membantu untuk memahami apa yang diajar guru dan tidak akan sesekali membiarkan pelajar yang kurang bijak bersendirian,” ujar anak kepada pasangan Penolong Jurutera di Jabatan Pengangkutan Jalan, Mohd Ali Jaafar, 40, dan Norizan Ibrahim, 40.