Halaman

27 November 2013

YB Pehimi ganti portfolio Allahyarham Dr A Rahman

YB Haji Mohammad Pehimi
Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar oleh Zulkipli Putra

Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) YB Haji Muhammad Pehimi dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, berkuatkuasa serta-merta.

Pelantikan beliau sebagai mengisi kekosongan portfolio tersebut berikutan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Besut, Dr A Rahman Mokhtar, pada 23 Jun lalu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata mesyuarat Exco memutuskan melantik Adun Jertih itu sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Allahyarham Dr A Rahman.

“Tiada timbalan pengerusi (portfolio itu) buat masa ini kerana kita merasakan bahawa tiada keperluan, kecuali kita menukarkan timbalan pengerusi yang dahulu, YB Mohd Mahdi Musa (Adun Kota Putera).

“Oleh itu, YB Mohd Mahdi akan mengambil tempat YB Muhammad Pehimi (sebelum ini) sebagai Timbalan Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Mingguan Exco, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah.

YB Muhammad Pehimi dilantik sebagai Exco yang baru, di Majlis Pelantikan dan Melafaz Sumpah Jawatan Exco, di Istana Syarqiyyah, Kuala Terengganu, Khamis lalu.