Halaman

01 November 2013

Wanita lebih bijak, berani pertahan hak : peserta seminar

Oleh: Aida Abd Rahman

Peserta Seminar Perundangan Dan Hak-Hak Wanita Negeri Terengganu 2013, menyifatkan program itu amat tepat dan relevan pada masa kini memandangkan wanita perlu bijak dan berani mempertahankan diri mereka supaya tidak terus menjadi mangsa keadaan.

Seorang peserta, Puan Narizan Salleh, dari Pejabat Tanah Daerah Kuala Terengganu, berkata pendedahan secara langsung kepada golongan ibu dan wanita sepertinya dapat membuka minda mengenai ancaman dan juga langkah pencegahan sekiranya berdepan dengan pelbagai gangguan dan isu.

“Jika sebelum ini, kebanyakan kita mengabaikan hak-hak yang sepatutnya diperjuangkan apabila berdepan pelbagai masalah dan gangguan, dengan seminar oleh pakar di bidang ini mampu memberi input berguna untuk memanfaatkan cara yang terbaik bagi melindungi diri kita supaya tidak terus menjadi mangsa.

“Pengetahuan amat penting dan seharusnya dikongsi bersama rakan wanita yang lain demi memastikan taraf dan nilai wanita dalam masyarakat sentiasa terbela,” katanya.

Seorang lagi peserta, Puan Adi Azura Ramlee dari Pejabat Exco Wisma Darul Iman, pula berkata menerusi program itu wanita lebih bersemangat mendepani isu berkaitan wanita serta cara penyelesaian berdasarkan perundangan negara.

“Banyak undang-undang bagi mempertahan dan melindungi golongan wanita menjadikan kita semua lebih bijaksana dan bersedia apabila terjebak dengan isu itu.

“Kita tidak boleh mendiamkan diri, sebaliknya perlu bertindak mengikut prosedur dan langkah yang sepatutnya bagi menjamin setiap masalah itu dapat diselesaikan sehingga akar umbi,” katanya.

Seramai 1,000 ahli Puspanita menghadiri program yang dirasmikan Penaung Persatuan Suri dan Anggota Perkhidmatan Awam Malaysia Negeri (Puspanita) yang juga isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi II Puspanita Negeri Terengganu, To’ Puan Hajah Maimunah Mohd Yusof dan Ketua Penolong Pengarah Pembangunan Insan Yayasan Islam Terengganu (YIT), Ustaz Ahmad Fadluldin Mohamad.

 Turut hadir, dua ahli panel, Penolong Pengarah Penyelidikan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pahang, Ustaz Badly Shah Alaudin dan Pensyarah Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Datin Noor Aziah Mohd dan moderatornya, Ustaz Haji Muhammad Ramli Haji Nuh.