Halaman

28 November 2013

UniSZA mampu tersenarai 10 universiti terbaik di Malaysia

Oleh: Noraini Jusoh

Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) mampu tersenarai dalam carta 10 universiti terbaik di negara ini berikutan perkembangan positif yang ditunjukkan universiti berkenaan.

Menteri Pendidikan II, Dato’ Seri Idris Jusoh berkata, dengan perkembangan positif yang ditunjukkan UniSZA kini, terutama dari segi pembangunan infrastruktur, penstrukturan kursus-kursus, peningkatan dari segi penerbitan dan bidang penyelidikan serta penambahan pensyarah yang mempunyai PHD membuktikan tidak mustahil UniSZA mampu bersaing dengan universiti yang telah lama bertapak di negara ini.

“Berdasarkan peningkatan dan penambahabaikan yang sedang berlaku di UniSZA, saya percaya tidak ada halangan mengapa UniSZA tidak boleh menjadi 10 universiti terbaik di negara kita dalam masa 10 tahun akan datang.

“Sebagai sebuah universiti yang baru dinaiktaraf, UniSZA telah berkembang begitu baik dalam satu tempoh yang singkat dan ini merupakan satu peningkatan yang baik dan saya amat gembira melihat perkembangan yang sedang berlaku di UniSZA,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan kunjungan ke UniSZA, semalam.

Turut sama, Naib Canselor UniSZA, Prof. Dr Yahaya Ibrahim.

Menurut beliau, UniSZA sememangnya diharapkan menjadi sebuah universiti yang cemerlang kerana merupakan institusi pengajian tinggi yang pertama di Terengganu di mana dahulunya dikenali sebagai Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA) dan kini dinaikkan taraf menjadi sebuah universiti.

Dalam kunjungan tersebut, Dato’ Seri Idris Jusoh turut berpesan kepada kakitangan akademik UniSZA supaya tidak lupa tentang tanggungjawab sosial mereka kepada masyarakat.

“Selain berperanan mendidik dan melahirkan pelajar cemerlang, pastikan juga UniSZA tidak lupa tentang tanggungjawab untuk masyarakat agar UniSZA boleh membangun bersama-sama rakyat Terengganu,” katanya.