Halaman

28 November 2013

UMT komited jalan penyelidikan berimpak

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) akan terus komited dalam menjalankan penyelidikan berimpak, selain memindahkan nilai ilmu serta menawarkan khidmat akademik kepada masyarakat dan pemegangtara di Tanah Bencah Setiu.

 Naib Canselornya, Prof. Emeritus Datuk Dr. Ibrahim Komo berkata, komitmen universiti itu diperkukuhkan lagi dalam usaha memperkasakan penyelidik melalui pengukuhan sistem sokongan penyelidikan yang telah bermula tahun lepas.

 Katanya, pengukuhan itu melibatkan pengurusan penyelidikan yang lebih fokus kepada Pusat Pengurusan Penyelidikan (PPP), Pemerkasaan Sistem Penyelidikan Tanah Bencah Setiu di bawah PPP.

 "Sebagai contoh, ini melibatkan secara langsung dalam usaha pewartaan Tanah Bencah Setiu dalam menjadikannya sebagai Taman Negeri melalui peningkatan jaringan kerjasama dan sokongan penyelidikan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam perasmian Bengkel Pewartaan Tanah Bencah Setiu Sebagai Taman Negeri Terengganu di sini baru-baru ini.

 Bengkel sehari dengan kerjasama Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM) yang menghimpunkan kira-kira 250 penyelidik, pegawai kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan itu bagi mendapatkan pandangan pihak berkepentingan dalam merealisasikan hasrat kerajaan negeri untuk menaikkan taraf ekonomi penduduk dan negeri.

 Sehubungan itu, Ibrahim berharap para peserta bengkel mencari dan mengenal pasti keistimewaan yang ada di Setiu sebagai satu tarikan unik apabila lokasi itu dijadikan taman negeri kelak.

 Beliau berkata, UMT telah menjalankan penyelidikan di Tanah Bencah Setiu seawal penubuhan universiti berkenaan pada tahun 1979 sebagai Pusat Perikanan dan Sains Samudera.

 Menurutnya, UMT terus berkembang selaras dengan proses pembangunan di Tanah Bencah Setiu dari satu daerah yang agak kurang dikenali sehingga menjadi 'hab' kepada industri perikanan, akuakultur, pertanian, selain sebagai pusat tarikan baharu dalam sektor eko-pelancongan.

 Sebanyak sembilan pembentangan oleh pelbagai agensi yang berkaitan dibincangkan dalam bengkel tersebut.