Halaman

26 November 2013

UMT bakal tranformasi pendidikan sedia ada

Oleh: Suriati Ali dan Mohd Syazni Zainudin (Pelatih)

 Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bercadang mentransformasi sistem pendidikan sedia ada dalam usaha menggalakkan mahasiwa dan tenaga pengajar meneroka ilmu penyelidikan berkaitan sains, teknologi dan penggunaan sumber alam secara meluas.

 Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMT, Prof Dr Noor Azhar Mohamed Shazili, berkata pihaknya bersedia menukar atau mentrasformasi sistem falkulti kepada pusat pengajian, bermula Januari tahun depan.

 Katanya, dia percaya langkah itu mampu membimbing penuntut dan tenaga pengajar berfikiran di luar kebiasaan, selain mempunyai kemahiran profesional yang tinggi.

 “Pada masa sama, pelajar-pelajar dapat mengukuhkan pencapaian akademik mereka berikutan mudah untuk berurusan dengan pihak atasan universiti jika mempunyai masalah,” katanya.

Menurunya, pusat pengajian yang bakal diwujudkan itu, termasuk berkaitan sains asas; sains marin & persekitaran; perikanan & akuakultur, dan infomatik & matematik. 

“Apa yang dicadangkan itu akan menggantikan enam fakulti sedia ada seperti fakulti sains & teknologi; pengurusan & ekonomi; agroteknologi & sains makanan dan fakulti pembangunan sosial,” katanya kepada pemberita selepas Konferens Saintifik Persatuan Mikroskopi Malaysia ke 22 di Primula Beach Hotel, Kuala Terengganu, hari ini.

 Prof Dr Noor Azhar turut memberitahu, kira-kira 1,000 ahli Skuad Sukarelawan UMT bersedia membantu membersihkan rumah mangsa banjir di sekitar negeri itu dalam usaha meringankan mereka yang dilanda bencana.

 “Skuad yang ditubuhkan Majlis Perwakilan Pelajar Itu pernah membantu mangsa banjir di beberapa kampung, ketika musim tengkujuh tahun lalu.

 “Khidmat mereka sentiasa diperlukan bagi membantu membaiki rumah rosak, atap bocor dan membersih lumpur dipersekitaran rumah.

 “Mereka yang juga anggota dari beberapa badan beruniform UMT sentiasa bersiap sedia membantu, bukan saja berkaitan banjir malah program kemasyarakatan, termasuk gotong-royong, mengacau bubur asyura bersama masyarakat setempat.

   “Ini adalah sebahagian usaha pelajar dan petugas UMT untuk menabur bakti kepada masyarakat sebagai tanda keprihatinan kami kepada mangsa,” katanya.