Halaman

28 November 2013

UMNO Besut Sokong Perlantikan Dato' JJ.

Nawi..satu keputusan yang baik.
Oleh: Aminudin Ismail.

BANDAR PERMAISURI: Perlantikan Dato' Jailani Johari sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu, baru-baru ini dilihat boleh 'menyegarkan' lagi UMNO di Terengganu, kata Ketua UMNO Bahagian Besut, Nawi Mohammad.

Nawi yang juga Exco kerajaan negeri itu, berkata perlantikan itu adalah satu keputusan yang baik daripada pucuk pimpinan parti, Dato Seri Najib Tun Abdul Razak kerana ada muka baru dalam kepimpinan UMNO di Terengganu.

"Bagi saya ia adalah satu keputusan baik dari Presiden parti untuk UMNO, keduanya dengan perlantikan ini saya nampak semacam tidak ada masalah dan tidak wujud lagi kem itu kem ini, sekarang sudah tak ada dan masing-masing akan memberi tumpuan untuk menghadapi Pilihanraya Umum (PRU) ke 14 nanti yang dijangka mungkin lebih mencabar dari PRU 13 lalu.

"Kita tengok ahli-ahli UMNO telah semacam menukar dia punya jurulatih ataupun ketua pasukan mereka daripada lapan ketua pasukan kepada enam yang baru iaitu kekalkan dua yang lama.

"Ini adalah sebagai satu 'signal' daripada ahli (UMNO) bahawa pasukan baru ini mesti bekerja keras untuk menghadapi PRU nanti supaya mencapai kemenangan yang lebih baik daripada PRU 13 baru ini," katanya kepada Teganukita, di sini, kelmarin.

Nawi berkata, Pertukaran dilakukan supaya jentera baru itu lebih bertenaga dan bersedia menghadapi PRU akan datang dan tidak menimbulkan isu kerana menurutnya, sebagai ahli UMNO mereka hendaklah berpegang kepada prinsip.

"Walaupun tidak memegang apa-apa jawatan, kita mesti terus berkhidmat kepada parti kalau kita yakin ini boleh memberi manfaat dan dapat membela bangsa Melayu. Tak kiralah seseorang itu ada jawatan atau tidak yang penting parti akan terus berjalan untuk mempastikan perjuangan orang Melayu dapat kita tunaikan.

"Saya percaya UMNO Terengganu pada masa depan akan lebih baik lagi dan kita mesti memberi kepercayaan kepada ahli UMNO yang telah membuat perubahan ke atas pucuk pimpinan di peringkat bahagian untuk mereka menilai semula pada pemilihan akan datang.

"Jika keputusan PRU ke 14 nanti sama dengan PRU ke 13 maka pasukan ini akan diganti semula oleh ahli-ahli UMNO. Oleh itu kita selaku pemimpin di peringkat bahagian dan negeri mesti bekerja keras untuk memberi kepercayaan kepada ahli bahawa kepimpinan baru yang dipilih ini berbaloi," katanya.

Dalam pada itu, Nawi berkata, beliau yakin Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri yang baru itu, Dato' Jailani Johari boleh membantu Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri untuk terus memantapkan lagi UMNO di Terengganu dan seterusnya mencapai kemenangan besar dalam memenangi PRU ke 14 nanti.