Halaman

20 November 2013

Sultan Terengganu berkenan merasmikan Eco Care

Oleh: Suriati Ali



 Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat merasmikan Pusat Pendidikan Alam Sekitar (`Eco Care’), di Kampung Labohan, Kerteh, Kemaman hari ini.



Turut berkenan berangkat, Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah.

 Keberangkatan baginda berdua disambut Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said bersama isteri To’ Puan Hajah Norliza Mahmud; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah dan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Haji Zubir Embong.



Hadir sama , Pengerusi Jawatankuasa Sains & Teknologi, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Air, Dato' Ahmad Razif Abd Rahman; Naib Presiden Pengurusan Sumber Tenaga Manusia Petronas, Puan Raiha Azni Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Chemical Group Berhad (PCG), Dr Abd Hapiz Abdullah.

 Eco Care merupakan pusat pendidikan dan infomasi pertama di pantai timur yang memberi pengetahuan mengenai penjagaan alam sekitar serta pemuliharaan kawasan paya bakau di sepanjang Sungai Kerteh, Kemaman.

Pusat yang dibiayai sepenuhnya PCG dan Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) itu dijangka mampu menjadi sebuah pusat pendidikan bersepadu yang menumpukan kepada pelaksanaan program pendidikan dan kurikulum alam sekitar.