Halaman

11 November 2013

POCPMT anjur Hari Tongkat Putih

Oleh: Suriati Ali 

 Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia Terengganu (POCPMT) akan menganjurkan Hari Tongkat Putih (HTP) Antarabangsa peringkat negeri di Jambatan Sultan Mahmud, Kuala Terengganu, 18 November ini.

 `Goodies’ yang mengandungi pelbagai risalah HTP akan diagihkan ahli-ahli pertubuhan POCPMT bersama-sama Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YB Mahdi Musa pada hari berkenaan.

Pengerusi Pertubuhan itu, Encik Mohamad Nasir Malek, berkata pihaknya berbesar hati menganjurkan program itu kerana mahu memupuk kesedaran orang ramai terutama pengguna jalan raya agar peka tentang keperluan Orang Kurang Upaya (OKU).

 “Memenuhi peruntukan yang terdapat di dalam akta OKU 2008 yang menetapkan golongan itu mempunyai hak seperti orang normal terhadap pelbagai kemudahan dan perkhidmatan yang ditawarkan kerajaan mahu pun swasta.

 “Program HTP cukup bermakna bagi OKU penglihatan kerana mampu memupuk kesedaran pengguna jalan raya supaya sentiasa bersikap prihatin dan berbudi bahasa,” katanya.