Halaman

17 November 2013

Peserta khatan gembira namun gementar

Oleh: Aida Abd Rahman


Perasaan teruja dan gementar dirasai kebanyakan 197 kanak-kanak berusia tujuh hingga 12 tahun yang menyertai majlis khatan beramai-ramai di Dewan Nelayan, Kampung Tengah, Kijal, Kemaman, hari ini.

Seorang peserta, Zaim Zuraimi, 9, dari Kampung Jong Belaboh, Kijal, berkata dia berasa sangat gembira dapat menyertai majlis itu bersama rakan-rakan sebaya yang lain, apatah lagi turut berpeluang menemui Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

 “Gembira tapi pada masa yang sama takut pun ada. Risau juga kalau sakit semasa khatan nanti, tetapi saya tetap bersemangat sebab ayah saya setia menemani saya sepanjang acara ini.

“Rasa bertuah juga sebab bukan semua rakan sebaya dapat melalui acara ini dengan percuma dalam suasana meriah, selain itu dapat pula wang saku RM30,” katanya yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Anak Dara.

Seorang lagi peserta, Mohamad Hafizuddin Ramli, 10, dari SK Kijal, pula bersemangat dan rasa bertuah selepas memperolehi RM30 dari Menteri Besar dan juga pemimpin yang sudi mengulurkan sumbangan itu.

“Kami bukan sahaja berkhatan dengan percuma, malah dapat pula duit sumbangan untuk perbelanjaan harian nanti.

“Saya tidak takut sebab ramai yang akan berkhatan bersama-sama saya hari ini. Lagipun, ayah dan abang pun memberitahu acara berkhatan ini tidak menyakitkan pun, kalau sakit pun hanya seminit dua,” katanya.



Menteri Besar dan isteri, To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud menabur beras kunyit dan air mawar serta menyuap pulut kuning kepada peserta sebagai simbolik perasmian sempena Majlis Program Berkhatan Beramai-ramai dan Majlis Kesyukuran, di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Pekan Kijal.



Turut hadir, Pegawai Daerah Kemaman, Haji Mohamad Kamil Othman; Pengarah Agensi Pembangunan Masyarakat Negeri Terengganu, Haji Roshali Taha dan Pengerusi PDM Kijal, Encik Ahmad Tarmizi Johar.