Halaman

21 November 2013

Laksana amanah sebaik mungkin : YB Pehimi

Oleh: Aida Abd Rahman

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jertih, YB Haji Muhammad Pehimi Yusof yang baru dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, merasa bersyukur dan terharu dengan kepercayaan pucuk pimpinan negeri kerana memilih beliau bagi mengisi jawatan itu.

“Saya akan berusaha sedaya upaya untuk menunaikan tugas dan tanggungjawab yang mana menganggap jawatan ini merupakan amanah yang perlu dipikul sebaik mungkin untuk kepentingan rakyat Terengganu.

“Buat masa sekarang saya belum diberitahu mengenai portfolio berkaitan bidang tugas saya dan dijangka akan dimaklumkan selepas mesyuarat Exco yang akan datang,” katanya kepada pemberita di Majlis Pelantikan dan Melafaz Sumpah Jawatan Exco, di Istana Syarqiyyah, Kuala Terengganu, hari ini.

Berkenan berangkat ke majlis itu, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin yang diiringi Tengku Sri Temenggong Raja dan Setiausaha Dewan Pangkuan DiRaja, Datuk Wan Ahmad Fauzi Wan Husain.

Keberangkatan baginda disambut Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Ahli Dewan Pangkuan DiRaja Terengganu, Tengku Bentara Raja dan Ketua Istiadat, Dato’ Bentara Luar.

YB Haji Muhammad Pehimi turut bersedia memikul sebarang bidang tugas dan portfolio yang akan diserahkan kepada beliau nanti dengan sokongan serta bantuan barisan kepimpinan negeri yang lain.

Pelantikan beliau sebagai menggantikan kekosongan Exco berikutan kematian Adun Kuala Besut, Dr A Rahman Mokhtar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, pada 23 Jun lalu.