Halaman

08 November 2013

Keluarga Syafiq, Asmui terharu keprihatinan kerajaan

Oleh: Aida Abd Rahman

Keluarga dua atlet muda lumba basikal Terengganu yang maut akibat nahas jalan raya ketika menjalani sesi latihan baru-baru ini, terharu dengan keprihatinan kerajaan negeri yang sentiasa peka dan mengambil berat kebajikan atlet.

 Pada 5 Jun lalu, Muhammad Syafiq maut digilis treler di Kampung Bukit Guntung, Tepoh ketika sedang menjalani latihan bagi Kejohanan Berbasikal Kebangsaan di Perlis manakala, pada 2 Oktober lalu, Mohd Asmui Ali,19, terbunuh apabila basikal ditungganginya terbabit kemalangan di Jalan Kuala Terengganu-Kuantan.

Kedua-dua bapa mangsa, Encik Syahril Abd Rashid dan Ali@Awang Sulong mengakui terharu dan amat bersukur dengan keprihatinan kerajaan yang sentiasa mengutamakan kebajikan atlet di negeri ini.

“Wang sumbangan ini saya akan manfaatkan sebaik mungkin dan berhasrat untuk melakukan amal jariah bagi pihak Allahyarham tidak lama lagi,” kata Encik Shahril. Manakala, Encik Ali pula pasrah dengan takdir yang menimpa keluarga mereka apabila kehilangan anak bongsu yang terkorban dalam nahas ketika latihan basikal awal bulan lalu.

“Kami sekeluarga amat berterima kasih kepada semua pihak yang amat mengambil berat termasuk kerajaan negeri yang sudi menyediakan sumbangan ini. Kami sekeluarga bercadang membelanjakannya untuk kenduri arwah,” katanya.

 Terdahulu, kerajaan negeri menyalurkan sumbangan berjumlah RM20,000 kepada keluarga dua atlet muda lumba basikal Terengganu, Muhammad Syafiq Imran Syahril dan Mohd Asmui Ali yang meninggal dunia dalam nahas jalan raya ketika menjalani sesi latihan baru-baru ini.

 Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, sumbangan bernilai RM10,000 setiap keluarga itu merupakan tanda penghargaan kerajaan negeri kepada dua atlet muda yang telah memberi sumbangan dalam menaikkan lagi prestij sukan berbasikal di negeri ini.