Halaman

28 November 2013

JKNT kerah 401 kakitangan hadapi musim banjir

Oleh: Aida Abd Rahman

Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) mengerahkan 401 pegawai dan kakitangannya bersiap-sedia memberi bantuan perubatan, pencegahan dan kawalan penyakit kepada mangsa banjir seluruh Terengganu sepanjang musim tengkujuh ini.

Kesemua pegawai dan kakitangan yang menganggotai 45 pasukan kesihatan dan 44 pasukan perubatan ditempatkan di pejabat kesihatan daerah, klinik kesihatan dan hospital seluruh daerah akan digerakkan ke pusat pemindahan terbabit apabila terdapat pemindahan mangsa banjir.

Pengarahnya, Dato’ Anwa Sulaiman, berkata pihaknya sentiasa bersiap-sedia memberi bantuan yang diperlukan oleh mangsa serta memastikan persekitaran pusat pemindahan selamat didiami sehingga banjir pulih sepenuhnya.

“Sebelum banjir pasukan kesihatan akan membuat lawatan ke pusat-pusat pemindahan banjir untuk memastikan kawasan itu selamat untuk menempatkan mangsa banjir serta dilengkapi dengan kemudahan asas yang diperlukan, contohnya bekalan air selamat, ada tandas , tempat memasak yang sempurna, tiada lubang dan sebagainya yang boleh mendatangkan kecederaan kepada mangsa banjir.

“Sementara pasukan perubatan pula akan digerakkan segera apabila ada mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan,” katanya kepada pemberita di Seminar Keselamatan Makanan dan Majlis Penganugerahan Premis Makanan Bersih Peringkat Negeri Terengganu Tahun 2013, di Dewan Perpustakaan Awam Negeri Terengganu, hari ini.

Dato’ Dr Anwa berkata, pihaknya juga akan membekukan cuti pegawai dan kakitangannya supaya lebih ramai kerahan tenaga sekiranya keadaan memerlukan dan berdasarkan ramalan cuaca semasa.