Halaman

26 November 2013

JAS sasar pertambahan 50,000 sukarelawan baharu RAS setahun

Oleh: Aida Abd Rahman

Jabatan Alam Sekitar (JAS) mensasarkan pertambahan 50,000 sukarelawan baharu sebagai Rakan Alam Sekitar (RAS) setahun bagi menggerakkan Program 3P (Pasukan Pemantau Pencemaran) secara konsisten di seluruh Malaysia.


Sehingga kini, seramai 186,000 RAS bertindak sebagai ejen kepada pihak berwajib bagi memantau dan melaporkan kes aduan yang berulang di kawasan masing-masing sejak ia diperkenalkan di setiap parlimen lima tahun lalu.

Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik JAS, Dato’ Abu Hassan Mohd Isa berkata, tahap kesedaran masyarakat menjaga alam sekitar semakin meningkat setiap tahun apabila hampir 200,000 RAS berdaftar sehingga kini.

“Program ini untuk memastikan semua lapisan masyarakat, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), syarikat gergasi dan badan berkanun berganding bahu untuk membanteras isu alam sekitar dan tidak hanya bergantung kepada agensi kerajaan semata-mata.

“Sambutan orang ramai terhadap program ini amat memberangsangkan dan kita akan terus berusaha mengembleng tenaga untuk memperluaskan program 3P di setiap parlimen bagi memastikan pembabitan semua pihak di masa depan,” katanya kepada pemberita sempena Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman /Nota Kerjasama Antara JAS Terengganu dan Agensi Kerajaan, IPT dan Swasta serta 3P, di Hotel Permai, Kuala Terengganu, hari ini.



Turut hadir merasmikan majlis itu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Sains & Teknologi, Alam Sekitar, Tenaga, Teknologi Hijau & Air negeri, YB Haji Bazlan Abd Rahman dan Pengarah JAS Terengganu, Puan Roshadah Hashim.

Sementara itu, Puan Roshadah berkata, sehingga kini, lima sukarelawan RAS di setiap parlimen di seluruh Terengganu.

 “Setiap parlimen ada lima RAS, bagaimanapun kita akan menarik lebih ramai ahli sukarelawan bagi menyertai RAS menerusi pelbagai program di setiap parlimen.

 “Selepas ini setiap ahli RAS akan diberikan latihan bagi berdepan isu-isu dan cara mengawal kes aduan selain mempelbagaikan penglibatan masyarakat dalam proses pemuliharaan alam sekitar,” katanya .

Menurutnya, sekiranya menerima aduan, RAS sendiri boleh bertindak mengawal dan menangani kes itu sebelum melaporkan kepada JAS yang akan meninjau lokasi kejadian untuk tindakan susulan.