Halaman

09 November 2013

Imej Terengganu bakal berubah melalui perancangan KTCC

Oleh: Suriati Ali 



Projek Kuala Terengganu City Centre (KTCC) yang dibangunkan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) bakal menjadi pemangkin kepada transformasi pembangunan Terengganu.

 Pada masa sama, projek itu bakal menjadi penanda aras baru kepada pembangunan hartanah di Terengganu dan meletakkan negeri ini sebagai pusat pelancongan moden bertaraf dunia.

 Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata KTCC akan menjadi faktor penarik untuk menggalakkan lebih ramai belia kembali bekerja di negeri ini apabila melihat kemajuan dan perubahan bandar raya ini.

Katanya, bagi melengkapkan KTCC sebagai gerbang pelancongan baru, jambatan angkat bernilai hampir RM40 juta bakal dibina menghubungkan Muara Selatan dan Muara Utara.

 “Projek lain, termasuk sebuah apartment 30 tingkat bernilai RM150 juta yang mengandungi 292 unit rumah dan 90 unit ruang komersil dibangunkan melalui peruntukan Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (TAWNT)



 “Kemudahan lain, menara 30 tingkat milik Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) bakal dibina dan sebuah lagi menara dengan ketinggian sama dibangunkan untuk menempatkan pejabat semua yayasan-yayasan milik kerajaan negeri,” katanya.



 Beliau berkata demikian pada Sidang Media selepas merasmikan Program Hari Terbuka ECER) Bersama Rakyat di Pusat Dagangan Terengganu, Kuala Terengganu, hari ini. Hadir sama, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Dato’ Haji Mat Razali Kasim; Pegawai Eksekutif ECERDC, Dato’ Jebasingam Issace John dan Pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri.

Program sehari itu memaparkan pameran berkaitan projek dan program yang dilaksanakan ECER di Terengganu, di mana mampu memberi impak kepada rakyat tempatan sejak wilayah itu dilancarkan lima tahun lalu.

Dato’ Seri Haji Ahmad turut memberitahu, Terengganu juga bersedia menyokong industri ternakan negera melalui pembangunan Pusat Penyelidikan & Inovasi Ternakan Kambing di Kuala Berang yang dijadualkan mula beroperasi pada awal tahun depan.

 “Projek itu akan membuka pelbagai peluang kepada petani generasi baru di Terengganu yang akan menikmati hasil dan produktiviti yang lebih tinggi melalui penggunaan teknologi canggih dan terkini dalam sektor penternakan kambing, “ katanya.