Halaman

04 November 2013

Bescomm tawar kursus percuma

Oleh: Mohd Hafizuddin Mat Tahar(pelatih)

Kerajaan negeri menyediakan kursus komputer secara percuma kepada penduduk negeri ini bagi melahirkan masyarakat ‘celik komputer’.

Kursus tersebut akan dijalankan di 47 buah Pusat Komunikasi Bestari(Bescomm) yang terdapat di seluruh negeri ini.

Pegawai Teknologi Maklumat,Unit Pengurusan Maklumat Negeri(UPMN), Haji Zulkifli Abdul Kadir berkata, peserta kursus juga akan diberikan sijil yang diiktiraf kerajaan negeri selepas menjalani kursus masing-masing.

“Kursus tersebut yang diadakan kurang daripada sebulan di pusat Bescomm terbuka kepada semua peringkat umur, tetapi peserta perlulah melebihi tiga orang.

Sesiapa sahaja yang berminat untuk mempelajari asas komputer, boleh menghubungi Bescomm berhampiran,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya menyediakan tenaga pengajar terdiri daripada pegawai terlatih yang arif berkenaan komputer dan mereka sentiasa berada di pusat itu (Bescomm).

Haji Zulkifli berkata, kerajaan menyediakan perkhidmatan percuma itu sejak 2003, namun mungkin ada sesetengah pihak masih tidak mengetahui secara langsung peranan Bescomm yang dikendalikan kerajaan khusus untuk rakyat.

“Saya menyarankan orang ramai menggunakan kemudahan ini kerana ia percuma, selain dapat membantu golongan kurang berkemampuan untuk sama-sama mendalami bidang IT,” katanya.