Halaman

26 November 2013

110 peserta eKasih daerah Kuala Terengganu, Setiu dan Besut terima dividen


YB Nawi menyampaikan dividen kepada peserta ekasih.

Oleh: Mohammad Ishak 

Projek penternakan kambing dan ayam yang dikendalikan oleh syarikat swasta di bawah Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) yang mengutamakan peserta eKasih kini membuahkan hasil apabila peserta mula menikmati hasil menerusi pengagihan dividen pendapatan hasil penternakan berkenaan.

Seramai 110 peserta dari daerah Kuala Terengganu, Setiu dan Besut, hari ini menerima agihan dividen antara RM300 hingga RM500 seorang hasil pendapatan projek ternakan kambing dan ayam secara komersil.

Majlis pengagihan dividen dilakukan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Perusahaan Perladangan dan Komoditi Terengganu,Yang Berhormat Nawi Mohamad.


Pada majlis itu sejumlah RM49,000 diagihkan kepada 30 peserta ternakan kambing dan RM30,000 kepada peserta ternakan ayam.



Nawi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut berkata, peserta eKasih beruntung menyertai program itu kerana mereka hanya selaku peserta sebaliknya projek berkenaan dikendalikan syarikat swasta dengan bantuan kerajaan negeri.

Katanya, projek ternakan ayam dibangunkan pada 2006 di bawah Rancangan Malaysia Ke9 membabitkan empat kompleks reban ayam tertutup dengan kapasiti pengeluaran 120,000 ayam pedaging sepusingan.

Kompelek berkenaan kini beroperasi di Bukit Lawang dan Telaga Papan, Setiu manakala masing-masing satu di daerah Besut (Kampung Baroh Masin) dan Kampung Bukit Nenasi,Kuala Terengganu.

Bagaimanapun, bagi projek ternakan kambing komersil hanya satu projek di Lembah Kaprima,Hulu Seladang, Setiu yang berjaya mengeluarkan hasil manakala tujuh lagi yang turut mengusahakan projek sama masih gagal mengeluarkan hasil.